Vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham, 21, mengakui rasa tercabar dengan rakan-rakan sepengajiannya, MeiFen dan Zera Hariz yang terpilih menerima Anugerah Dekan baru-baru ini.
Biarpun masing-masing sibuk dengan kerjaya seni, namun pelajaran tetap tidak diabaikan, malah beberapa kali terpilih sebagai pelajar terbaik di fakulti.
Ayie yang kini merupakan pelajar tahun dua, Ijazah Sarjana Muda Teater, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) mahu menjadikan kejayaan dua rakannya itu sebagai inspirasi untuknya mengikut jejak langkah.
“Memang saya rasa tercabar dengan mereka kerana berjaya membahagikan masa dengan sebaiknya antara kerjaya dan pelajaran.
“Walaupun sibuk dengan penggambaran dan pelbagai aktiviti seni lain, mereka tidak abaikan pelajaran malah tampil dengan keputusan yang cemerlang setiap semester.
“Jadi saya juga mahu melakukan perkara yang sama. Walaupun sibuk dengan jadual persembahan bersama Floor88, saya cuba pastikan untuk tidak ponteng kelas dan memberikan tumpuan yang sepenuhnya kepada pelajaran,” ujarnya kepada Sinar Harian ketika ditemui di majlis bersama Media di Aswara pada Rabu.
Ayie atau namanya sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah bersama-sama rakan dalam Floor 88 yang terdiri dariapda Zai Hamzah (gitar utama), Amir (Gitar kedua), Akram (drum), Eric Fauzi (Keyboard) dan Falique (Bass) sebelum ini cukup popular menerusi lagu Zalikha.
Terbaharu, mereka kini sibuk mempromosikan single kedua, Aqilah yang sudah mula mendapat perhatian di radio dan platform muzik digital.
Dalam masa yang sama, Ayie juga bakal muncul dengan pementasan teater muzikal, The Venom yang bakal menemui penonton pada 28-30 Jun depan.
“Kalau tengok jadual harian, memang sibuk sangat pelbagai aktiviti bersama Floor 88, tetapi sebagai pelajar saya perlu bijak membahagikan masa.
“Saya meminta kelonggaran untuk hanya terlibat dengan persembahan yang berlangsung pada hujung minggu sahaja, sementara pada hari-hari biasa saya mahu memberikan tumpuan kepada kelas.
“Alhamdulillah rakan-rakan semua faham situasi saya, malah mereka juga sentiasa memberikan sokongan agar saya berjaya dalam pelajaran,” kata Ayie yang mempunyai ramai peminat perempuan ini.