Anugerah - Deretan trofi anugerah yang dimenangi termasuk Bintang Paling Popular 2009 dan terbaharu Hos MeleTOP pada acara AME2018 menjadikan Nabil sebagai bukan sahaja pelawak, bahkan artis berprofil tinggi yang kekal relevan dan dihormati di hati peminat.
DERETAN trofi yang dimiliki oleh seseorang artis mungkin dilihat sebagai kayu pengukur menentukan sama ada anak seni terbabit tergolong dalam kategori papan atas atau tidak.
Ada yang melihatnya sebagai suatu kepentingan, namun bagi pemilik gelaran Hos MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2018 (AME2018), Nabil Ahmad mempunyai perspektif berbeza.
Sedekad mengabdikan diri dalam dunia hiburan, Nabil mengakui tempoh tersebut banyak mematangkan dirinya, selain tidak lagi meletakkan harapan untuk menggondol sebarang anugerah pada masa hadapan.
Bukan bermaksud menolak rezeki mahupun menidakkan penghormatan yang diberi tetapi jejaka kelahiran Negeri Sembilan itu memilih untuk menumpahkan sepenuh tumpuan kepada industri tanpa mengharapkan sebarang penghargaan.
“Setelah 10 tahun menceburi bidang seni, jauh sekali untuk saya mempunyai sifat riak dan menolak penghargaan yang diberikan. Apa yang dimaksudkan, saya cuma ingin khalayak menilai berdasarkan kualiti dan bukan populariti terutama melibatkan kategori undian peminat.
“Biar peminat membuat penilaian mengikut keinginan sendiri tanpa perlu saya melobi dalam media sosial. Saya enggan dilabelkan sebagai artis yang wujud hanya pada acara anugerah.
“Paling utama adalah hubungan baik dengan peminat. Tidak perlu meminta belas ihsan khalayak untuk mengundi kerana peminat mengetahui apa yang perlu dilakukan kepada artis kesayangan mereka,” terang pemilik nama lengkap, Ahmad Nabil Ahmad dengan panjang lebar.
Mengulas mengenai kemenangan pada AME2018, Nabil tidak menduga rezeki berpihak kepada dirinya kerana menyangkakan Aliff Satar yang lebih layak memenanginya.
Nabil menyifatkan pesona dan populariti yang dimiliki Aliff, 27, menjadikan pelakon Semanis Honey itu mempunyai pakej lengkap sebagai pengacara.
“Mungkin kedengaran klise tetapi yang jelas saya tidak meletak harapan untuk menang kategori tersebut kerana menyangka ia milik Aliff Satar.
“Tanpa latar pendidikan tinggi dan kurang fasih berbahasa Inggeris menyebabkan saya sedar diri. Mustahil orang kampung macam saya boleh menang,” seloroh Nabil.
Seorang yang gemar membuat jenaka, bapa kepada dua cahaya mata berkenaan turut mengakui peluang mengecapi populariti sejak bergelar juara program realiti Raja Lawak musim kedua pada 2008 dan kemudian dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular, Anugerah Bintang Popular 2009 telah banyak mengubah haluan kompas hidupnya.
Tidak dinafikan impak populariti yang dikecapi ketika itu membuatkan Nabil tersasar daripada landasan hidup. Bukan bermaksud untuk menyelak lembaran khilaf lampau tetapi Nabil akui perjalanan hidup terdahulu membuatkan dirinya lebih menghargai kehidupan sekarang.
Jadi lebih baik
“Secara peribadi saya sendiri tidak mahu membuka semula kisah lampau dan melihat semula kesilapan yang pernah dilakukan. Bukan bermaksud menidakkan perkara nyata tetapi segalanya telah menjadi pengajaran buat saya.
“Saya akui populariti ketika itu membuat saya ‘nakal’ dan alpa. Tetapi, percayalah selepas berumah tangga saya berjanji segala perbuatan lampau tidak akan diulang semula.
“Kitaran hidup manusia ini terlalu mudah. Saya gusar sekiranya perbuatan lampau yang pernah dilakukan sebelum ini berlaku kepada anak memandangkan kedua-dua cahaya mata adalah perempuan,” luah Nabil bersungguh-sungguh.
Sikapnya dahulu yang gemar bertukar pasangan sehingga dilabelkan sebagai lelaki yang tidak setia atau lebih sinonim dengan panggilan playboy.
Sedar khilaf lampau menjadikan dia sentiasa berusaha untuk memperbaiki diri serta berusaha menjaga rumah tangga dengan wanita yang dinikahi pada 30 September 2011, Nazirah Ayub.
Seperti bait kata nukilan Allahyarham Tan Sri P. Ramlee menerusi lagu Sedangkan Lidah Lagi Tergigit cukup untuk menggambarkan hubungan pasangan suami isteri dalam sesebuah institusi kekeluargaan.
Pandangan sama turut menjadi pegangan Nabil dalam menjaga hubungan dengan isteri, Nazirah atau lebih selesa dengan panggilan Zira.
Katanya, pertelingkahan mahupun perselisihan faham merupakan situasi normal yang berlaku pada setiap pasangan berumah tangga. Perkara sama turut dihadapi dalam perkahwinannya yang kini memasuki tahun ketujuh.
Kata Nabil, dia sering bertanyakan pendapat Ustaz Don Daniyal sekiranya terdapat keraguan dalam setiap keputusan yang dibuat terutama melibatkan perihal keluarga.
“Hasil daripada pertemuan saya dengan Ustaz Don Daniyal, difahamkan ramai remaja yang dimasukkan ke institusi pemulihan untuk juvana datang daripada keluarga yang bercerai.
“Mendengarkan keadaan itu, saya enggan membiarkan anak-anak menanggung keperitan hidup hanya kerana ibu bapa yang bermasalah. Saya ingin mereka dibesarkan dalam suasana harmoni dan dipenuhi dengan kasih sayang,” terang Nabil.
Cuba jauhi poligami
Bukan sekadar memastikan keharmonian rumah tangga bersama isteri dan dua anak, Naera Mikayla, 6, dan Leyla Medyna, 4, Nabil juga berusaha memastikan dirinya tidak mendekati poligami.
Bukan menentang perkara dibolehkan dalam Islam tetapi Nabil yakin dirinya tidak mampu untuk berlaku adil sekiranya memiliki isteri lebih daripada satu kelak.
Baginya, perkahwinan melibatkan tanggungjawab besar bukan sekadar kepada pasangan tetapi ia turut melibatkan soal cahaya mata.
Dalam kesibukan rutin harian yang padat dengan aktiviti seni, mustahil untuk Nabil bersikap adil sementelah dia sendiri sukar untuk membahagikan masa antara keluarga dan kerjaya dalam keadaannya sekarang.
“Sejujurnya saya sedar diri dan tidak mempunyai hasrat untuk berkahwin lebih daripada satu kerana bimbang tidak dapat berlaku adil kepada isteri-isteri kelak. Perkahwinan ini merupakan satu tanggungjawab yang tidak boleh diperlekehkan.
“Antara kerjaya dan keluarga juga sukar untuk saya seimbangkan, ini pula ingin memiliki isteri lebih daripada satu,” katanya yang ditemui pada majlis Pelantikan Ikon Belia Hiburan @Young Entertainment Star (YES) di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.
Inspirasi
Mengulas mengenai pelantikan sebagai Ikon Belia Hiburan, YES merupakan platform penyiaran digital baharu oleh MVTV Asia dengan kerjasama Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas).
Menerusi YES juga terdapat sebuah cabang program khas dikenali sebagai Inspirasi YES Malaysia yang menampilkan Nabil bersama 10 lagi selebriti tempatan berkongsi pengalaman dan kejayaan melakar nama di dalam dan di luar negara.
Dijalankan bawah inisiatif Transformasi Nasional (TN50), Inspirasi YES Malaysia yang dapat ditonton menerusi aplikasi MVTV Asia merupakan kemudahan atas talian buat barisan selebriti berkongsi aspirasi dan memberi inspirasi kepada khalayak.
“Untuk mencapai kejayaan seperti sekarang, saya tidak melalui jalan mudah. Pelbagai suka dan duka perlu ditempuhi.
“Menerusi aplikasi ini, pengisian melibatkan perkongsian tentang perubahan hidup saya daripada seorang penghantar surat sehingga dikenali. Diharapkan ia dapat menjadi inspirasi buat penonton, terutamanya golongan belia,” tutur Nabil optimis.
Selain Nabil, artis popular lain yang turut terlibat ialah Akim Ahmad, Stacy Anam, Ernie Zakri, Elfira Loy, Zul Huzaimy, Farah Nabilah, Dasha Logan, Roshan Nair, Lisa Ch’ng dan Jacqueline Ch’ng.
Setelah 10 tahun berkecimpung dalam dunia seni, Nabil Ahmad kini lebih memberi fokus kepada kualiti berbanding populariti. Pada masa sama, pelawak dan pengacara popular itu turut memastikan keseimbangan antara kerjaya dan keluarga selain tidak memiliki hasrat untuk mengamalkan poligami.