"Kami sekeluarga tahu apa yang terjadi dan perasaan dia ketika ini. Jadi, apa sahaja yang akan berlaku nanti, saya sebagai adik sentiasa menyokong keputusan dia.”
Itu respons penyanyi popular Anuar Zain ketika ditanya tentang kemelut rumah tangga yang melanda kakaknya, penyanyi Ziana Zain dan suami, Armin Zaharin Ahmad Zambri yang kini di ambang perceraian.
Anuar ditemui selepas selesai mengadakan konsert BCL, Anuar Zain & Yuka Kharisma Live In Concert yang berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) malam tadi.
Bagaimanapun, pemilik nama penuh Shahrul Anuar Zain, 48, itu enggan mengulas lanjut tentang perkara sebenar yang berlaku antara kakak dan abang iparnya kerana kes berkenaan sedang dibicarakan di mahkamah.
“Walaupun saya keluarga dia, tetapi untuk mengulas lanjut saya tidak mahu kata apa-apa. Sebab saya takut nanti akan menimbulkan prejudis kepada mana-mana pihak memandangkan hal ini menjadi kes mahkamah.
“Jadi sebarang keputusan yang berlaku nanti, kita tunggu sahajalah. Saya perlu memainkan peranan untuk tidak memberi apa-apa komen demi melindungi dia dan keluarga, termasuk abang ipar,” ujarnya.
Sementara itu, ketika ditanya tentang kenyataan daripada Ziana menerusi satu temu bual bersama sebuah akhbar baru-baru ini yang menyatakan hidupnya kini bahagia, ini jawapan ringkas Anuar: “Alhamdulillah. Saya bersetuju dengan perkara itu kerana hidupnya sekarang sangat gembira.”
Terdahulu, penyanyi yang terkenal dengan lagu Madah Berhelah itu telah memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada 3 April lalu di Mahkamah Syariah Shah Alam, Selangor.
Menurut sumber, pemfailan tersebut dilakukan setelah Armin enggan melepaskan Ziana secara baik.
Kisah rumah tangga Ziana dan suaminya mula menjadi perhatian selepas Armin didakwa di Mahkamah Majistret Shah Alam pada 6 Mac lalu atas tuduhan mencederakan salah seorang anak mereka dengan rotan sehingga luka pada 25 Februari lepas.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Denai Alam, Shah Alam antara pukul 8 malam hingga 10.30 malam, 24 Februari lalu.