Amaran Siti Nurhaliza!


Penyanyi nombor satu Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza, 39, menerusi akaun Instagramnya meluahkan rasa kecewa dengan berita palsu yang ditulis oleh sebuah blog mengatakan bahawa dirinya disaman kerana menggunakan maklumat palsu bagi meraih jutaan ringgit.

Menurut Siti, dia menafikan sekeras-kerasnya berita itu.

"Saya dengan ini menafikan sekeras-kerasnya berita tersebut. Saya juga tidak ada kena mengena dengan berita palsu itu," tulisnya di Instagram miliknya, @ctdk.

Tambahnya, dia juga tidak pasti apa tujuan berita itu ditulis dan disebarkan oleh pihak terbabit.

"Apakah tujuan yang cuba dibuat oleh pihak yang menulis berita tersebut? Saya tidak pasti.

"Namun, menggunakan wajah saya dan nama Nurhaliza telah mengundang kekeliruan dan menimbulkan pertanyaan banyak pihak mengenai kesahihan berita tersebut," katanya.





Kata Siti lagi, dia akan mengambil tindakan undang-undang kepada pihak terbabit, jika masih tidak memadam nama dan foto wajahnya.

"Saya berharap supaya pihak yang membuat berita palsu ini segera memadamkan wajah dan nama saya seperti mana yang tertera dalam petikan di blog tersebut.

"Jika perkara ini berlanjutan, saya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan yang sewajarnya yang diperuntukkan di bawah undang-undang yang berkaitan," katanya.

Masih berada dalam proses berpantang, Siti terpaksa memberi penjelasan untuk memastikan tidak timbul kekeliruan dan salah faham.

Post a Comment

Previous Post Next Post