Aidil Aziz Terkejut dengan keberanian mereka


Selepas hampir setahun menyepikan diri daripada bidang seni berikutan kes penahanan berkaitan dadah sebelum ini, pelakon Aidil Aziz kini kembali aktif meneruskan kerjaya lakonannya.

Biarpun pada mulanya, kerjaya pelakon yang mula dikenali menerusi drama Saiful Nita ini bakal berakhir, namun tawaran demi tawaran yang diterima seolah-olah memberi petanda yang baik.

“Ketika mula ditahan dulu, saya fikir kerjaya seni saya bakal berakhir dan perlu reda dengan apa yang bakal berlaku selepas itu termasuklah kehilangan kawan-kawan dan sebagainya.

“Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya di mana pada hari pertama saya dibebaskan dan dalam perjalanan untuk pulang ke rumah, saya dihubungi pihak produksi yang cuba memberi tawaran berlakon.

“Jujurnya saya sangat-sangat terkejut dengan keberanian mereka itu, dan dalam masa yang sama seperti menyuntik satu semangat dalam diri saya agar lebih positif melalui hari-hari selepas itu,” ujar Aidil.

Bagaimanapun selepas dibebaskan, pelakon ini mengambil keputsuan untuk berehat selama beberapa bulan untuk meluangkan masa bersama keluarga dan rakan-rakan terdekat sebelum kembali berlakon..

“Bila semua dah OK, keadaan saya pun semakin positif barulah saya kembali berlakon dan penampilan pertama saya adalah menerusi drama 40 episod, Villa Gazara, arahan Feroz Kader.

“Diikuti dengan beberapa drama dan telemovie lain seperti Mimpi Yang Sempurna, Cinta Lemon Madu, sitkom Mami Mamu Gosip dan lain-lain.

“Alhamdulillah, saya diberikan peluang kedua dan saya amat berterima kasih kepada semua rakan-rakan dalam industri yang masih percayakan saya,” luahnya yang ditemui ketika Bengkel DFKL baru-baru ini.





Selain berlakon, Aidil juga kini berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dan aktif mengusahakan jualan King Mangi Fera iaitu buah mangga asam boi yang dipasarkan secara atas talian sejak beberapa bulan lalu.

Apa yang menariknya, sebanyak RM1 daripada setiap penjualan buah mangga asam boi ini akan disalurkan kepada golongan yang tidak benasib baik seperti anak-anak yatim, mereka yang tidak berkemampuan dan sebagainya.

“Idea untuk mndermakan sebahagian hasil jualan untuk mereka yang tidak bernasib baik itu datang secara tiba-tiba dan tidak dirancang.

“Mungkin ia ada kaitan dengan kejadian yang menimpa saya sebelum itu di mana saya melihat dugaan tersebut sebagai sesuatu yang banyak mengajar saya untuk lebih bersyukur dan menghargai kehidupan saya.

“Jadi saya merasakan tindakan berkongsi rezeki dengan cara tersebut telah membuatkan hidup saya lebih gembira dan berkongsi keberkatan rezeki bersama mereka yang memerlukan,” kata Aidil.

Post a Comment

Previous Post Next Post