Achey hadiahkan kereta mewah sebagai tanda penghargaan kerja keras isterinya selama lima tahun.
Pelawak dan penyanyi Achey tidak membenarkan isterinya, Nor Hasanah Yahaya memeriksa telefon bimbitnya selama hampir sebulan.
Achey atau atau Mohd. Nasir Hamzah, 32, berkata dia berbuat demikian kerana ingin melakukan kejutan hari jadi istimewa buat isterinya itu.
"Selama hampir sebulan juga saya tak benarkan isteri pegang atau periksa telefon bimbit saya.
"Saya ada beritahulah sebab apa tak benarkan. Dia tahu yang saya ada nak buat kejutan hari jadi untuknya.
Kereta mewah hadiah Achey buat isteri tercinta.
"Tapi dia tak tahu apa elemen-elemen kejutan yang saya rancangkan. Malah, tiada siapa pun tahu kecuali penaja-penaja pada majlis itu," katanya kepada mStar Online.
Achey membuat kejutan bagi menyambut ulang tahun kelahiran isterinya yang ke 28 tahun pada Sabtu malam.
Menariknya, anggota kumpulan lawak Bocey ini menghadiahkan sebuah kereta mewah terpakai jenis Audi TT.
Menurut Achey, hadiah tersebut bagi menghargai usaha kerja keras isteri menguruskan kerjayanya selama lima tahun dalam industri.
Achey buat kejutan hari jadi isterinya.
"Saya hadiahkan kereta terpakai itu sebagai tanda penghargaan buat isteri yang selama ini menguruskan kerjaya saya selama lima tahun.
"Dia tidak pernah minta apa-apa daripada saya. Selama ini pun, saya sahaja yang minta. Jadi inilah hasil dari 2013 sampai 2018 dia menjaga saya.
"Lagipun, dia pernah kata kereta itu cantik tapi tak pernah pun minta untuk saya beli. Kiranya, ia satu kejutan istimewa untuknya," ujarnya.
Dalam pada itu, Achey meluahkan rasa syukur apabila single pertamanya, Yang Terindah menerima sambutan di luar jangkaan.
Single pertama Achey mendapat lebih 22 juta tontonan.
Malah, lagu terbaharunya berjudul Makcik Bawang turut mendapat perhatian pendengar.
"Alhamdulillah, saya memang paling tak sangka single pertama dapat sambutan sebegitu.
"Bersyukur sangat ramai orang dapat terima lagu tersebut. Malah, lagu kedua juga dapat menarik perhatian pendengar," katanya.
Lagu ciptaan Achey itu mendapat lebih 22 juta tontonan di Youtube sejak dimuat naik pada 30 Oktober tahun lalu.
Manakala single terbaharunya itu kini menjadi trending di tangga ke-33 Youtube dan lebih 590,000 ribu tontonan sejak 16 April lalu.