Umar Uzair pertaruh lagu puisi


Keberadaannya dalam dunia seni dan sastera sudah memasuki 10 tahun tetapi tidaklah sepopular mereka yang seangkatannya.

Barangkali pemilihan untuk mengetengahkan lagu-lagu puisi yang agak jarang kedengaran pada masa kini membuatkan nama Umar Uzair sedikit terpinggir dalam dunia muzik tempatan.

Hal ini kerana lagu-lagu seumpama itu dianggap berat dari segi penyampaian mesej dan bentuk iramanya sendiri.

Malah, demi mengangkat martabat puisi itu sendiri, penyanyi dan juga penyair ini menerusi syarikatnya, Meja Poedjangga Malaysia bakal menganjurkan Festival Nada Puitika yang akan berlangsung pada 31 Mac (hari ini) di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC), Kuala Lumpur.

“Secara jujurnya saya sudah 10 tahun berada dalam industri seni dan sastera tetapi kemungkinan nama saya agak kurang dikenali dalam industri muzik tempatan kerana lagu-lagu puisi seperti ini jarang diketengahkan pada masa kini.

“Saya merupakan seorang penyair tetapi apa yang membezakan ialah saya memilih untuk tidak mendeklamasikan puisi seperti biasa sebaliknya membawakannya menerusi gubahan lagu yang dilihat lebih dekat pada penonton,” ujarnya yang juga mendapat pengiktirafan sebagai Penyair Muda ASEAN 2015.

Umar memberitahu, sudah hampir lima karya puisi ciptaannya digarap menjadi lagu bergenrekan pop soul seperti Yang Aku Mahu, Miliki Kau dan Pintalah Aku Ke Sana.

Lagu Pintalah Aku Ke Sana juga sudah dimainkan di beberapa buah stesen radio tempatan.

Kata Umar, pada festival itu juga dia bakal memperkenalkan sebuah lagu puisi baharu sempena pelancaran buku puisinya yang keenam berjudul Pujangga Bujang Lara.





Apa yang menarik, lagu puisi itu mendapat sentuhan susunan muzik daripada salah seorang anggota kumpulan Sixth Sense, Athan.

Bercerita mengenai lagu terbaharunya itu, Umar memberitahu, dia sangat mementingkan lirik yang digunakan dalam setiap lagunya.

“Saya lebih gemar menggunakan bahasa yang tinggi dan oleh kerana liriknya sudah berat, jadi susunan muziknya perlu sesuatu yang mudah dihadam.

“Jadi saya memilih Athan kerana pernah bekerjasama dengannya sebelum ini selain berharap khalayak dapat menerima lagu puisi garapan saya yang bakal memasuki arena muzik arus perdana nanti,” jelasnya yang menjadikan penyanyi terkenal Ziana Zain sebagai idolanya dalam bidang nyanyian.

Post a Comment

Previous Post Next Post