Tam Spider bagi peluang orang yang tak popular


Penyanyi yang juga vokalis kumpulan Spider, Tam, mengakui mencari masa yang sesuai untuk membuat projek solo yang sudah sekian lama tertangguh.

Ujar Tam atau nama sebenarnya Rustam Mustafa, 45, dia juga berharap dapat merealisasikan hasratnya itu pada tahun ini, sekali gus sempena ulang tahun ke-20, kumpulan Spider di dalam industri.

"Kalau ikutkan lagu semua dah ada tapi disebabkan banyak komitmen sebelum ini, jadi saya terpaksa ketepikan dahulu hasrat untuk buat projek solo.

"Kemudian, dari awal tahun ini saya terlibat pula dengan program Mentor Otai.

"Tapi kalau program ini mampu melonjakan semula nama saya dan Spider, saya memang bersyukur dan Insya-ALLAH perancangan saya itu boleh dilakukan pada tahun ini.

"Kalau tidak, saya kena tunggu dulu dan explore lagi apa yang ada pada saya," ujarnya.





Mengulas mengenai pembabitannya dalam program Mentor Otai, Tam berkata, dia bukan mahu mencari rockers terbaharu atau pelapisnya di dalam industri, sebaliknya mencungkil bakat yang ada pada mereka yang tidak berpeluang menunjukkan bakat lebih awal.

"Kalau lihat pada protege mentor yang lain, semua ada background nyanyian yang sangat baik.

"Tapi saya memilih mereka yang ada bakat, tapi tak pernah berpeluang menunjukkan bakat mereka.

"Saya harap protege saya nanti boleh memberi sesuatu yang membanggakan saya dan saya juga mahu mereka tidak terarah pada genre rock semata-mata, tetapi seorang penghibur yang versatil," jelasnya.

Post a Comment

Previous Post Next Post