Sufian Suhaimi Mungkin Allah nak berikan sesuatu yang lebih baik


"Ini adalah cara Tuhan ingin memberi sesuatu yang lebih baik kepada saya," ulas Sufian Suhaimi berhubung insiden putus tunang dengan pelakon popular, Elfira Loy.

Mengambil iktibar, penyanyi berusia 26 tahun ini turut menyifatkan ia sebagai satu tanda peringatan dari Yang Maha Esa.

"Saya percaya apa yang berlaku pada hari ini adalah yang terbaik untuk semua.

"Mungkin Allah nak berikan sesuatu yang lebih baik kepada saya untuk masa akan datang," katanya ketika ditemui selepas pengumuman segmen baharu stesen radio Era di Red Box, The Gardens, hari ini.

Pada masa sama, penyanyi yang popular menerusi lagu Terakhir ini mengakui tidak selesa apabila kerap ditanya mengenai episod hitam tersebut.

"Saya meminta semua pihak supaya berhenti membuat spekulasi, berhenti bertanyakan perkara ini dan berhenti memanjangkan cerita ini.

"Saya juga berharap agar semua pihak dapat menghormati kami semua," tegasnya

Bahkan, pelantun lagu Terasa Ada ini menafikan mengambil kesempatan atas peristiwa yang berlaku demi meraih publisiti bagi mempromosikan single baharunya, Di Matamu.





"Saya rasa semua orang pun pernah bercinta dan putus cinta. Mungkin perhatian kepada saya agak berbeza sikit.

"Seperti yang saya katakan, saya tak mahu memanjangkan lagi isu ini. Tapi, bila ditanya saya cuba menjawab dengan jujur sekali gus menjaga hati dua-dua pihak.

"Jadi, saya ingin memohon maaf kepada semua pihak yang terkesan dengan apa yang berlaku sama ada secara langsung atau tidak," katanya.

Sufian dan Elfira bertunang pada 6 Oktober lalu dan dijadualkan melangsungkan perkahwinan pada 23 Mac ini.

Bagaimanapun, ikatan pertunangan dua bintang muda ini terlerai apabila keluarga Elfira sepakat memulangkan cincin kepada keluarga Sufian di Muar, Johor pada 19 Februari lalu.

Susulan itu, dua bintang popular terus menjadi perhatian dan perbualan hangat peminat.

Situasi itu mengundang rasa kurang senang keluarga Elfira apabila bapanya, Ahmad Sabri Ariffin menggesa agar Sufian berhenti mengeluarkan kenyataan berhubung kontroversi tersebut demi menjaga hati semua pihak.

Post a Comment

Previous Post Next Post