Bekas pengacara program 999, Sarah Adibah Mohammed Yussof sedikit pun tidak menyesali keputusan meninggalkan kerjayanya sebagai jurutera operasi bagi memberi fokus pada kerjaya seni.
Kata wanita berusia 28 tahun itu, kerjaya seni bukanlah bidang yang ingin diterokainya, namun terus memilih pengacaraan kerana ketika itu ia adalah rezeki di depan mata.
“Peluang untuk menceburi bidang seni datang tepat pada masanya. Saya adalah seorang yang ‘go with the flow’, maka saya pilih untuk terjun ke pentas pengacaraan.
“Saya tidak menyesal meninggalkan kerjaya lama dan melebarkan sayap di arena seni. Saya ‘enjoy’ dengan kerja ini. Itu adalah perkara yang paling penting,” katanya yang juga pengacara untuk program Borak Kopitiam.
Tambahnya lagi, dia bernasib baik kerana mendapat tempat dalam industri seni untuk mengemudi program televisyen. Baginya, rezeki adalah sesuatu yang sukar untuk dijangka.
“Saya bernasib baik kerana kehadiran saya diterima baik dalam industri. Ini adalah platform terbaik untuk mengembangkan bakat dan membina empayar kerjaya,” kata bekas peserta pertandingan Clever Girl Malaysian musim pertama itu.