Sherry Ibrahim minta penjelasan apabila perunding perkahwinan mengaitkan namanya dengan perkahwinan Nur Fazura dan Fattah Amin.
Pelakon Sherry Ibrahim berang kononnya perunding perkahwinan terkenal, Rekateemor mengaitkan namanya dengan perkahwinan pasangan Nur Fazura dan Fattah Amin Ahad lalu.
Sherry mendedahkan menerusi akaun Instagram Rekateemor itu terdapat komen pada posting video yang dimuat naik di laman sosialnya pada malam Isnin dengan bertanyakan sama ada dia sudah melihat perkahwinan pasangan itu.
"Hi @sherryibrahim, dah tengok wedding Fattzura? Kami ada post wedding Fattzura di Instagram kami. Jom tengok," tulisnya Sherry dalam Instagram miliknya.
Komen tersebut telah menyebabkan ramai pengikutnya termasuk rakan selebriti menyelar tindakan dan niat perunding perkahwinan itu meninggalkan komen tersebut.
Umum sudah mengetahui sebelum ini Sherry dan Fattah Amin pernah menjadi pasangan kekasih namun percintaan mereka tidak kesampaian.
Sherry memuat naik paparan skrin komen ditinggalkan di Instagramnya.
Rata-rata berang apabila nama Sherry dikaitkan dengan pasangan itu.
"Apa kena mengenai perkahwinan Fattzura dengan Sherry Ibrahim? Come on! Kata perunding perkahwinan nombor satu Malaysia. Soalan tiada kena mengena dengan hidup orang tu pun boleh tanya?
"Ini bukan caranya untuk mendapat pengikut dengan bertanyakan soalan tidak relevan kepada orang yang tidak sepatutnya," tulis salah seorang pengikutnya.
Rata-rata juga meminta pihak Rekateemor memohon maaf kepada Sherry.
Sherry akan ambil tindakan jika tiada sebarang penjelasan dibuat oleh pihak berkenaan kepadanya.
Sementara itu, sherry dalam posting berbeza mempersoalkan tindakan Rekateemor mengaitkannya dan meminta pihak tersebut tampil menjelaskan kepadanya berhubung komen dibuat.
Malah kata Sherry, dia tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan seterusnya jika tiada sebarang penjelasan dibuat oleh pihak perunding perkahwinan itu.
"Pertamanya saya tidak mengenali mereka (Rekateemor) dan perkara ini berlaku menerusi video yang saya muat naik malam semalam.
"Komen tersebut telah menyebabkan buli siber dan ia membuka kepada risiko dan rasa tidak hormat.
5,000 peminat meraikan pasangan Fattah Amin dan Nur Fazura pada majlis kenduri mereka pada Ahad lalu.
"Sila jelaskan kepada saya sebelum saya mengambil tindakan seterusnya @rekateemor.
Hasil carian pada ruangan komen pada video yang dimuat naik Sherry mendapati Rekatemor sudah memadam komen yang dibuat kepada pelakon drama Syurga Yang Kedua itu.
Namun Sherry sempat membuat paparan skrin komen berkenaan.
Rekateemor mengeluarkan kenyataan memberitahu ada pihak menggodam akaun mereka.
Ada Pihak Telah Godam - Rekateemor
Sementara itu, Rekateemor dalam kenyataan segeranya di Instagram memberitahu ada pihak telah menggodam akaun tersebut dengan menyebarkan komen tidak sepatutnya.
Pihak perunding perkahwinan itu turut memuat naik gambar sebagai bukti yang diterima menerusi e-mel kiriman pihak Instagram memaklumkan ada pihak cuba menceroboh akaun mereka.
"Ada seseorang cuba merosakkan imej Rekateemor dalam dunia siber dengan menggodam akaun perniagaan kami dan menyebarkan komen tidak sepatutnya," kata kenyataan itu ringkas.