Biarpun sudah genap setahun, pemergian suami tersayang, Johan Nawawi masih segar dalam ingatan penyanyi, Nora Ariffin.
Malah, selebriti berusia 45 tahun ini turut menyifatkan peristiwa tersebut seperti baharu sahaja berlaku.
"Hari ni 24/3/2018. Genap setahun suami tercinta arwah Johan Nawawi pergi meninggalkan kita.
"Masih segar diingatan saat doctor dari SJMC... mengatakan...Dia sudah mati.!!!!!.
"Setiap detik dan saat takkan pernah luput diingatan. Ianya tetap seperti baru berlaku," tulisnya di Instagram (IG).
Bagaimanapun, penyanyi yang popular menerusi lagu Di Persimpangan Dilema ini reda dengan aturan ALLAH.
"Namun... apa saja terjadi, diatas kehendak-Nya. Kita semua harus REDHA dengan setiap musibah atau apa yang berlaku.
"Yakinlah... pasti ada HIKMAH di sebalik kejadian," kongsinya.
Pun begitu, pelantun lagu Hanyalah Satu ini mengakui sentiasa merindui dan mengingati semua momen manis yang dicipta bersama.
"Nora akan sentiasa merindui kasih sayang dari seorang suami yang sangat istimewa serta detik-detik indah selama 24 tahun membina rumah tangga.
"Segala kenangan akan terus kekal abadi. Cinta dunia akhirat. Semoga kita dapat bertemu lagi.
"Al- fatihah buat Johan Nawawi. 24/3/2017-24/3/2018.Semoga abang di sana bersama insan-insan solehah dan bidadari syurga," tulisnya beserta #adadalamtiadabynora,
#jn30tribute dan #HibahDemiJannah.
Johan, seorang komposer dan penulis lirik tersohor meninggal dunia akibat sakit jantung di Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya, Selangor pada 24 Mac 2017.
Pasangan ini berkahwin pada 9 April 1993 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Mohd Syakir Iman, 25; Mohd Syakir Alif, 19; Putri Nor Dahlia, 14 dan Putri Nor Fathehah, 6 tahun.