Benar kata orang, takdir Allah adalah rahsia paling indah dan sempurna yang tidak dapat diduga manusia.
Ia tersusun cantik dan menjadi lebih istimewa terutama dalam hal yang membabitkan soal masa depan.
Walaupun percubaan mengintai peluang dalam dunia lakonan bukan dengan kerelaan hati, ia bertukar menjadi cinta yang menggunung apabila laluan pendatang baru Nafiz Muaz, 20, semakin membuahkan hasil.
Nafiz berkata, dia tidak menyangka perjalanan hidupnya berubah menjadi seorang pelakon pada usia yang masih mentah ini.
“Semuanya bermula ketika ibu mendaftarkan saya mencuba nasib dalam uji bakat pada Drama Festival Kuala Lumpur 2016 (DFKL) yang berlangsung di Sungai Petani, Kedah.
“Ketika itu, saya berkeras tidak mahu naik ke atas pentas, tapi selepas dipujuk saya turutkan permintaannya dan terpilih sebagai finalis DFKL 2016,” katanya.
Menurut Nafiz, sejak itu bakatnya mula menjadi perhatian apabila ditawarkan berlakon beberapa drama seperti Pondok Itu Rumahku, Ketika Berzikir, Bibah Bebel dan Amsyar.
Terbaru, Nafiz memegang watak utama menerusi drama Budak Boys yang kini bersiaran di TV3.
Ditanya apakah yang mendorong ibunya mahu dia mencuba nasib sebagai pelakon, Nafiz berkata, mungkin ibunya sering melihat dia gemar berkarakter ketika menonton drama.
“Setiap yang berlaku ada hikmahnya. Saya tak sangka kehidupan saya akan berubah sebegini.
“Saya tidak pernah terfikir akan bergelar pelakon, tapi mungkin ibu nampak kelebihan anaknya. Di rumah, saya memang suka ikut karakter seseorang pelakon itu. Mungkin dari situ dia melihat bakat saya,” katanya.
Siapa sangka, selepas dua tahun mencuba nasib dalam bidang lakonan, jejaka kacak ini semakin jelas dengan cita-citanya untuk menjadi pelakon terkenal dan serba boleh, malah dia juga mahu bergelar pengarah.
“Saya sudah mula sayangkan bidang lakonan. Kerjaya ini sudah dianggap sebahagian daripada hidup saya.
“Bagaimanapun saya perlu bekerja keras untuk memastikan perjalanan karier saya terus berkembang dan pergi lebih jauh. Kalau tidak dapat jadi hero pun tidak mengapa asalkan watak yang diberikan cukup kuat dan menonjol. Jika kena cara dan pembawakannya, watak sebagai pelakon pembantu kadang-kadang lebih menjadi tumpuan penonton,” katanya.
Mengakui kerjaya yang dipilihnya penuh dengan ujian demi ujian, pemilik nama sebenar Muhammad Nafiz Muaz Mat Nasir ini pernah terdetik rasa putus asa apabila permulaan kerjayanya tidak seindah yang difikirkan.
“Dua tahun dalam bidang ini macam-macam dugaan saya lalui untuk bina nama sebagai pelakon.
“Saya fikir industri seni ini seronok dan mudah, tapi macam-macam tahap perlu saya lalui. Mujur ibu sentiasa memberi sokongan supaya saya tidak mudah mengalah dan banyakkan berdoa.
“Antara kenangan tidak boleh dilupakan adalah saya terpaksa tidur di Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur selama tiga hari ketika mula datang ke Kuala Lumpur untuk menjalani penggambaran drama.
“Ketika itu, saya sebatang kara di Kuala Lumpur. Tiada kenalan mahupun ahli keluarga. Namun pengalaman itu banyak mengajar saya mengenai erti kehidupan,” katanya yang berharap laluan kerjayanya akan terus bersinar.