“Hubungan saya dan dia masih seperti biasa,” kata pengacara Hefny Sahad, 30, walaupun sejak akhir-akhir ini dia jarang memuatnaik gambarnya bersama pelakon Uqasha Senrose, 26, di media sosial.
Kata pengacara Muzik-Muzik 32 itu, dia berharap umum tidak membuat sebarang spekulasi mengenai hubungan mereka serta minta didoakan yang baik-baik.
“Saya harap tidak ada individu yang cuba membuat spekulasi hanya kerana saya jarang memuatnaik gambar bersama di media sosial.
“Kami masing-masing sibuk dengan kerjaya dan tidak ada apa-apa yang terjadi. Semuanya berjalan seperti biasa. Doakan yang baik-baik,” katanya.
Lebih selesa berkongsi perkembangan kerjayanya, Hefny menegaskan dia enggan bercerita lebih lanjut mengenai hubungannya dengan pelakon wanita berkenaan.
“Sudah terlalu banyak kenyataan saya keluarkan sebelum ini mengenai hubungan kami. Liputan juga lebih tertumpu pada kisah peribadi dibandingkan kerjaya.
“Tahun 2018, saya mahu fokus pada kerjaya. Saya tidak mahu lagi berkongsi mengenai cerita kami. Saya tidak mahu dilabel menumpang populariti kerana pengikutnya di laman sosial lebih kuat,” kata Hefny.
Hefny kini menjadi pengacara untuk program bual bicara baharu berjudul Borak Kopitiam ditayangkan menerusi saluran TV3.