Fathia Latiff perbaiki diri


FOKUS - Selain mahu fokus terhadap karier, Fathia turut memohon agar peminatnya tidak lagi menjadikan perihal peribadi sebagai bahan kutukan.

Bukan niat menyelak aib tetapi bermula dengan tersebarnya sebuah video berpakaian seksi dan menari bersama pelakon baharu, Natasha Elyzza menerusi aplikasi video Bigo Live telah membawa kepada pengguguran namanya daripada sebuah drama bersiri bertajuk La Luna. Itu adalah fakta yang paling diingati menerusi sebaris nama Fathia Latiff.

Ia kemudian berlanjutan dakwaan tidak berdisiplin dan datang lewat ke lokasi penggambaran sehingga tempatnya diganti oleh pelakon Zahirah McWilson.

Reda seketika ribut Bigo Live, perilaku pelakon yang popular menerusi drama Ariana Rose itu dihangatkan pula dengan perbualan netizen, gara-gara kerap mengeluarkan kenyataan dangkal di laman Twitter.

Itu belum lagi dikira perihal tindakannya yang secara tiba-tiba meminta pelakon kontroversi Iqram Dinzly supaya membunuh diri menerusi komen yang ditinggalkan di Live Video Instagram sehingga menyaksikan lelaki itu membalas dengan sindiran agar Fathialah yang terlebih dahulu membunuh diri.

Apa sahaja yang dilakukan pemilik nama penuh Nur Fathia Latiff pasti menjadi kecaman peminat yang seolah-olah sentiasa bersedia menunggu masa dirinya melakukan kesilapan untuk segera melepaskan ‘peluru’ kutukan.

Kisah hitam Fathia sebenarnya akan kekal menjadi sensasi yang tidak terhapus. Tekan sahaja enjin carian Google, semuanya berderet untuk disoroti.

Sesuatu yang menarik, sewaktu hangat dikecam netizen, usaha pihak media mendapatkan komen daripada pelakon drama Dia Isteri Luar Biasa itu sering menemui jalan buntu.

Selang berbulan-bulan lamanya, kesempatan bertemu empat mata dengan Fathia ketika bertamu ke majlis Malam Gala Mood Republik di ibu kota baru-baru ini tidak dilepaskan.





Semangat baharu

Sejak bertalu-talu dilanda kontroversi, Fathia tidak pernah tampil memberikan jawapan. Jawabnya, bukan sengaja melarikan diri, apatah lagi mahu bersembunyi tetapi jauh di sudut hati dia mahu membina kembali semangat yang seakan-akan hilang dek kontroversi yang melanda.

“Saya bukan lari, cuma untuk apa memikirkan dan bercakap tentang perkara yang sudah berlalu? Hidup perlu diteruskan dan saya sendiri mahu memajukan diri dengan karier. Sejujurnya saya sendiri sudah tidak larat bercakap tentang kontroversi.

“Apabila pernah buat silap, takkanlah saya mahu tenggelam dalam kesalahan itu. Sebaliknya, saya pandang ia dari sudut positif dengan menyifatkan kesalahan menjadi pengalaman terbaik untuk memperbaiki diri. Apabila saya sudah mahu berubah, janganlah diungkit lagi cerita lama dan cuba menjatuhkan saya kembali,” ujarnya membuka perbualan.

Tidak dinafikan, kebanyakan kisah kontroversi Fathia akhir-akhir ini bermula daripada media sosial. Tersalah satu langkah, ia memakan diri dan bahananya ditanggung seumur hidup.

Ditebak dengan persoalan sebegitu, Fathia menarik nafas panjang sebelum mengatur jawapan. Baginya, media sosial menjadi medan perbalahan kerana manusia suka memanipulasi keadaan dan cuba mempengaruhi orang lain tanpa ada had sehingga menjadikan sesuatu isu berlarutan serta diperbesar-besarkan.

“Saya tidak nafikan, kebanyakan pengguna media sosial adalah dalam kalangan remaja. Jadi, untuk apa kita melayan kata-kata yang keluar daripada mulut budak-budak yang kita sendiri tidak tahu datangnya dari mana dan siapa mereka.

“Jadi, saya tidak perlu untuk berasa sedih dan tertekan seandainya pihak yang mengutuk terdiri daripada golongan itu sebab mereka juga pun menggunakan media sosial sekadar suka-suka.

“Sekarang pun saya hadkan penggunaan media sosial daripada perkara peribadi. Cukuplah sekadar media sosial dijadikan platform hiburan untuk berkongsi perihal karier,” jelasnya sambil meminta mana-mana pihak yang bertanggungjawab supaya membuang video tarian di Bigo Live membabitkan dirinya yang tular tidak lama dahulu.

Cara betul

Kerap menjadi mangsa kritikan netizen, Fathia tidak mudah menuding jari menyalahkan sesiapa. Baginya, itu semua adalah cara peminat memberi teguran yang boleh diguna pakai untuk memperbaiki diri.

Apa sahaja yang dilakukannya pastinya jelek di mata netizen. Ibarat hilang kemarau setahun oleh hujan sepagi, begitulah yang sedang dihadapi Fathia ketika ini dek kesilapan yang dilakukannya dahulu.

Diminta mengulas tentang perilaku peminat yang tidak henti-henti mencari silapnya, dengan tenang Fathia meluahkan isi hati.

“Mereka bukan mahu cari kesalahan tetapi sekadar menegur. Cuma, mereka menegur dengan cara salah. Peminat mungkin nak tengok saya sempurna tanpa sebarang kesalahan kecil sesuai dengan imej bertudung sekarang tetapi sebagai manusia, saya tidak dapat lari daripada melakukan kesalahan.

“Setiap teguran boleh diambil sebagai pedoman untuk membaiki diri. Tiada masalah kalau mahu tegur sebab saya seorang yang terbuka. Cuma kadangkala cubalah letak diri anda dalam situasi saya. Mungkin cara hidup masing-masing berbeza,” katanya sambil tersenyum.

Bertubi-tubi menghadam kontroversi sedemikian menjadikan Fathia cukup masak dengan asam garam dunia hiburan. Biarpun mengaku sudah lali dengan kecaman, namun ada permintaan yang disuarakannya kepada masyarakat di luar sana.

“Saya masih peduli dengan setiap kritikan tetapi tidaklah sampai terpengaruh sehingga tertekan. Kepada peminat yang mahu menegur, boleh saja tetapi biarlah kena dengan cara. Janganlah teguran itu terlalu negatif dan bertukar menjadi kutukan.

“Mungkin bagi mereka itu perkara normal tetapi tidak bagi saya. Golongan yang bercakap kasar terhadap orang lain sebenarnya mencerminkan keperibadian sendiri. Saya dibesarkan dalam keluarga yang tidak bercakap kasar.

“Buktinya kalau ibu mahu menegur kesalahan pun dia tidak pernah berkasar dengan saya. Kalau rasa diri betul untuk tegur, gunalah dengan cara yang betul. Jika tidak, lebih baik jangan,” ujarnya tegas.

Menyanyi
Mahu memadam cerita hitam yang meletakkan namanya hangat dalam carta kontroversi, Fathia memasang semangat meneruskan karier seperti biasa dan terkini, dia mahu mencuba nasib bergelar penyanyi.

Menganggap rezeki yang datang umpama hikmah atas segala yang terjadi, selain menyanyi Fathia kembali aktif dengan dunia lakonan apabila bakal terlibat dalam sebuah drama terbitan Zeel Production Sdn. Bhd.

“Saya bersyukur kerana sudah kembali bersemangat meneruskan semula kehidupan dan kerjaya. Selepas beberapa kontroversi tempoh hari, saya ambil masa untuk berehat seketika dan sekarang masanya kembali sibuk dengan kerja.

“Tidak lama lagi saya bakal fokus kepada nyanyian dengan kemunculan single sulung. Judulnya belum ada tetapi proses rakaman sudah siap. Sekarang, cuma menunggu masa sesuai untuk dilancarkan,” ujarnya seraya menutup perbualan penuh optimis.

Post a Comment

Previous Post Next Post