Elly Mazlein Payudara saya asli


Elly Mazlein bergandingan dengan Haziq Husni mengacarakan program Mentor Otai di TV3.

Menyebut sepotong nama Elly Mazlein, mudah untuk peminat terkenang pelbagai kontroversi mengaitkan dirinya terutama kisah perceraian dengan bekas suami, Hatta Azmi pada 15 Oktober 2015 sewaktu hamil empat bulan.

Lali dengan kritikan dan segala cacian ramai terhadap dirinya, Elly atau nama sebenar, Sharifah Aida Mazlina Syed Hanafi, 36, nekad menumpahkan sepenuh komitmen terhadap kerjaya seni.

Terbaharu, pelakon dan penyanyi yang cukup terkenal dengan panggilan Lina Pom Pom itu bertindak sebagai hos bergandingan dengan penyampai radio, Haziq Hussni dalam program, Mentor Otai yang mula bersiaran semalam (18 Mac).

Dalam perkembangan lain, Elly juga terpaksa membuka akaun Instagram baharu selepas akaun lamanya menggunakan nama @iamellymazlein telah digodam sejak seminggu lalu.

Dia menyedari akaun yang mempunyai 700,000 pengikut tersebut menjadi mangsa penggodam apabila kata laluan yang dimasukkan tidak sah.

Pelantun lagu Ditambah Bara Yang Tersimpan itu turut menjawab andaian sesetengah pihak yang menuduhnya melakukan pembedahan terhadap payudaranya yang dilihat semakin membesar.

KOSMO!: Boleh ceritakan tentang akaun Instagram anda yang digodam baru-baru ini?

ELLY MAZLEIN: Ini merupakan kali kedua akaun Instagram saya kena godam tetapi kali ini lebih teruk kerana nama dan kata laluan sudah ditukar.

Laporan juga telah dibuat kepada pihak Instagram bagi mendapatkan kembali akaun saya, namun nampaknya ia masih belum berhasil.

Justeru, saya ambil keputusan untuk buka akaun baharu menggunakan nama @ellymazlein_official. Memang ralat rasanya apabila jumlah pengikut jadi sedikit, namun apa yang boleh saya lakukan kerana itu jalan terbaik.

Tidakkah anda berharap untuk mendapatkan akaun lama semula kerana sukar untuk peminat mengetahui perkembangan seni anda sekarang?

Saya masih berusaha untuk mendapatkan akaun tersebut. Ramai yang masih tidak tahu bahawa akaun berkenaan kena godam kerana jika anda buat carian ia masih ada, cuma saya tidak boleh akses ke akaun itu.

Saya berharap penggodam dapat mengembalikan akaun itu tetapi saya tetap buat akaun baharu dan sehingga kini ia baru mengumpul sekitar lebih 2,000 pengikut.





Baiklah, bagaimana dengan percubaan pertama kali anda menjadi pengacara dalam program Mentor Otai?

Saya cuma ingin mempelbagaikan bakat dalam bidang seni dan tidak kisah andai ada yang ingin mengkritik. Ini adalah pengalaman pertama saya.

Alhamdulillah, saya ambil peluang diberikan sebagai suatu tanggungjawab besar dan cuba melakukan yang terbaik sepanjang tujuh minggu Mentor Otai bersiaran.

Apa yang boleh dikatakan, saya akan jadi diri sendiri ketika berada di pentas. Sekiranya ada pihak mengkritik, saya terima kerana sebagai orang baharu dalam pengacaraan, saya perlu ambil kira komen orang lain.

Maaf bertanya soalan yang agak sensitif, namun sejak kebelakangan ini saiz payudara anda dilihat semakin membesar, adakah anda melakukan sebarang pembedahan?

Mana ada buat apa-apa, apatah lagi pembedahan? Payudara saya asli.

Sebenarnya ia nampak besar kerana saya diberikan rezeki untuk mempunyai susu badan dan syukurlah sampai sekarang anak saya masih menyusu badan walaupun sudah berusia dua tahun. Orang boleh bercakap apa sahaja kerana itu adalah hak mereka.

Ada yang berpendapat selepas bergelar janda, anda semakin berani dan seksi sehingga dilabel sebagai simbol seks, komen anda?

Biarlah orang ingin kata apa pun. Sepanjang hidup, saya sudah berdepan dengan pelbagai tohmahan dan cacian.

Saya hanya ingin meneruskan kehidupan dengan bahagia dan memberi tumpuan kepada kerjaya seni selepas ini. Kalau terlalu fikirkan pendapat orang tentang diri kita, memang tidak akan ke mana-mana.

Jadi, saya mengambil pendekatan hanya fikir tentang diri sendiri dan orang tersayang iaitu keluarga dan anak, Putri Sara Sefhia.

Post a Comment

Previous Post Next Post