Kematangan kerja muzik Estranged


Estranged yang dianggotai oleh (dari kiri) Din, Rich dan Hanafi.

Selepas mendapat sambutan yang menggalakkan menerusi lagu duet bersama pelakon dan penyanyi Fazura menerusi album Sepenuhnya Vol. 1, Estranged kini tampil dengan single terbaharu berjudul, Sebelum dan Selepas.

Single pertama yang dipetik daripada album Sepenuhnya Vol. 2 tersebut merupakan hasil ciptaan Estranged sendiri yang diinspirasikan melalui pengalaman silam vokalisnya, Richael Lawrence Limbang atau Rich.

Lagu yang memakan masa selama sebulan untuk disiapkan itu mengisahkan keadaan sebelum dan selepas sebuah perhubungan sepasang kekasih. Ia mengalirkan emosi ketika mula terjalin dan hubungan yang sudah bertaut untuk masa yang lama.

Ujar Rich selaku penulis lirik, lagu tersebut menunjukkan pandangan terhadap sesebuah perhubungan yang menentukan laluan hidupnya.

“Kami melancarkan lagu ini dalam YouTube sejak Februari lalu. Tema cinta dipilih kerana kami mahu lebih mendalami kisah cinta dan perhubungan yang dilihat lebih dekat dengan peminat.

“Malah, peminat juga yang membuat permintaan kepada kami agar menghasilkan lagu sebegitu kerana ia mudah dihadam,” jelasnya sambil menyifatkan muzik Estranged juga dilihat lebih matang berbanding dahulu.





Khidmat sosial

Bercerita lanjut, Estranged yang turut dianggotai oleh Din dan Hanafi itu juga bakal membuat siri jelajah di Sabah dan Sarawak bermula Mei depan.

Menurut Hanafi, mereka memilih membuat siri jelajah di kedua-dua negeri tersebut kerana sebelum ini jarang-jarang Estranged berkesempatan bertemu peminat di sana.

“Kami merancang untuk mengadakan siri jelajah di 73 buah pekan di Sabah dan Sarawak yang berkonsepkan persembahan di atas trak pikap.

“Selain itu, kami juga ada bekerjasama dengan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Light Up Borneo untuk membekalkan hidro elektrik buat penduduk di kawasan Kampung Sungai Toubang, Ranau, Sabah,” tuturnya.

Kongsi Hanafi lagi, menerusi kerjasama tersebut, orang ramai boleh menderma sebanyak RM25 untuk kabel sepanjang satu meter dan RM15 bagi pembelian lampu diod pemancar cahaya (LED) yang akan disumbangkan kepada 25 buah rumah di kawasan tersebut.

Beralih tentang perancangan masa depan, Din memberitahu, mereka bakal berkolaborasi dengan seorang penyanyi wanita dalam masa terdekat.

“Kami belum boleh bercerita lanjut berkenaan kolaborasi itu tetapi apa yang pasti konsep dan lagu duet itu nanti sudah ada.

“Cumanya, kami akan memberikan butiran lanjut jika segala-galanya sudah dipersetujui,” jelasnya mengakhiri bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post