Elly Mazlein Tapi kalau kacau anak, kau tunggu


Penyanyi, pelakon, pengacara Elly Mazlein atau lebih mesra dengan panggilan Kak Lina Pom Pom, dia melihat tahun 2018 sebagai tahun terbaik buatnya selepas tidak putus-putus menerima tawaran sejak awal tahun lalu.

Justeru, dia berhasrat untuk mengurangkan kontroversi kerana mahu meneruskan kehidupan ke arah yang lebih baik.

"Alhamdulillah, sejak awal tahun, tidak putus-putus tawaran, daripada nyanyian, lakonan, duta produk dan terbaru sebagai pengacara Mentor Otai.

"Saya kira tahun ini sangat baik untuk saya dan saya mahu kurangkan kontroversi. Apa pun berlaku hidup mesti diteruskan dan saya mahu memberi tumpuan terhadap kerja

"Tapi kalau bab anak, kacau anak, kau tunggu," selorohnya ketika ditemui pada pelancaran program Mentor Otai, baru-baru ini.

Tambah Elly, pengalaman juga menjadikan dia wanita yang lebih kuat dan berani berbanding dahulu.





"Dulu bila saya diam je, orang sekeliling macam naik lemak. Tapi kini tidak lagi. Kalau orang cakap benda tak betul saya bagi balik," ujarnya.

Bahkan ujar wanita berusia 38 tahun ini, kehadiran anak tunggalnya, Putri Sara Sefhia, 2, juga memainkan peranan besar dalam hidupnya.

Jelasnya, hatinya kini tertutup untuk mendirikan rumah tangga dan tumpuan hanya mahu diberikan kepada Sefhia.

"Sehia sekarang dah besar, makin pandai, bijak. Jadi saya rasa biarlah kasih sayang saya hanya tertumpu pada dia seorang.

"Saya tak bersedia nak menerima orang baru dalam hidup. Lagipun kalau ada suami, kita ada komitmen lain.

"Jadi memandangkan dia masih kecil, saya rasa cukuplah perhatian saya untuknya. Saya juga mahu beri yang terbaik buat Sefhia," katanya yang bersyukur dengan perhatian dan kasih sayang yang Sefhia terima dari keluarga dan orang sekeliling.

Post a Comment

Previous Post Next Post