Dayang Nurfaizah laris di Indonesia


PENYANYI, Dayang Nurfaizah, terharu apabila dua lagu dendangannya Di Pintu Syurga dan Lelaki Teragung tersenarai dalam 10 karya paling tinggi dibeli menerusi Itunes di Indonesia.

Pemenang anugerah Vokal Terbaik Anugerah Juara Lagu tiga kali berturut-turut itu sewaktu ditemui di sini, memberitahu dia mengetahui khabar gembira terbabit dari peminat di sana.

“Saya sendiri tidak tahu menahu mengenai perkara itu. Jujur, saya awalnya tidak percaya apatah lagi wakil syarikat rakaman tidak pernah berkongsi apa-apa mengenainya,” katanya.

Menjelaskan lebih lanjut, kata Dayang peminatnya itu menjelaskan mengenai kedua-dua lagu terbabit mula dijual di Itunes Indonesia, selepas melihat ia berada dalam senarai jualan paling laris.

“Kata peminat itu lagi, sebelum ini dia tahu mengenai nyanyian saya apabila sedutan persembahan di Anugerah Juara Lagu dimuat naik di Youtube.

“Begitupun baru-baru ini apabila ia berada di dalam senarai lagu paling laris, kata peminat itu lagi kepada saya, baru dia tahu yang kedua-dua lagu terbabit termasuk Tak Pernah Menyerah turut sudah dijual di laman Itunes,” katanya.





Menerangkan mengenai penjualan album dan single popularnya di laman Itunes di negara seberang, kata Dayang dia kurang mahir bagaimana mekanisma ia dilakukan.

“Bagaimanapun melihat perkembangan itu baru saya faham, penjualan setiap karya di setiap wilayah atau negara adalah berbeza.

“Walaupun ia dipasarkan sedikit lewat berbanding Malaysia, namun saya bersyukur kerana penerimaan pendengar di sana terhadap karya-karya dendangan saya begitu positif,” katanya.

Album terbaru Dayang yang menggunakan namanya sebagai judul telah dilancarkan April lalu, dan dalam tempoh itu sudah terjual lebih lima ribu unit dan diulang cetak tiga kali.

Membabitkan penjualan album menerusi digital kata Dayang, pihaknya masih belum menerima apa-apa perkembangan daripada pihak syarikat rakaman, bagaimanapun terbaru albumnya turut dijual dalam bentuk piring hitam.

Post a Comment

Previous Post Next Post