Genap sebulan bergelar ibu, pengacara HLive, yang juga terkenal sebagai gadis Trivago, Dahlia Shazwan, 28, berkongsi wajah dan nama anak sulungnya itu.
"#Throwback to when I delivered our angel exactly a month ago.
"Everyone meet Freda," tulisnya.
Dahlia sebelum itu selamat melahirkan bayi perempuan yang diberi gelaran baby F itu pada pukul 3.15 pagi dengan berat 2.7 kilogram pada 22 Februari lalu.
Uniknya, Dahlia yang bersalin beberapa jam sebelum Nora Danish ditempatkan di bilik bersebelahan aktres itu.
Dalam pada itu, menerusi perkongsian Dahlia pada 10 Mac lalu, memberitahu, air ketubannya telah pecah pada petang 21 Februari.
Biarpun ia merupakan pengalaman pertama, namun dia dan suami tetap tenang dan terus bergerak ke hospital mengharungi kesesakan trafik.
"Air ketuban saya telah pecah dan kami kini dalam perjalanan ke hospital. Saya bertuah kerana Syafiq (suami) ada bersama saya," ujarnya dalam video yang dimuat naik.
Dahlia juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah mendoakannya sepanjang tempoh kehamilan dan juga selepas proses kelahiran.