Menjadi pelakon bukanlah satu proses yang mudah. Tentunya, ada beberapa fasa perlu dilalui mereka yang berjiwa seni dan ingin menjadikan lakonan sebagai kerjaya. Bagi pelakon Ashraf Muslim yang baru-baru ini ditemui di sesi uji bakat peserta Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL), dia berkata program itu adalah pentas terbaik bagi mencungkil bakat lakonan.
“Saya dapati ramai bakat baru ada potensi berkembang dalam bidang lakonan. DFKL adalah platform yang bagus untuk mencari mereka yang berbakat,” katanya.
Menurutnya, generasi baru patut bersyukur berikutan adanya platform sebegini jika dibandingkan dengan zamannya yang lebih sukar untuk melangkah masuk ke dalam industri.
“Zaman saya dulu, semua kena cari sendiri dan ia tidak semudah sekarang.
“Hari ini, mereka yang berminat dalam lakonan disediakan platform dan kalau benar-benar ingin mencari ilmu, mereka boleh menyertai bengkel yang disediakan,” katanya.
Menurutnya, walaupun sudah lebih 10 tahun berada di dalam industri, pencarian ilmu masih diteruskan dan tidak pernah berhenti.
“Saya sendiri pun masih belajar banyak benda dalam memantapkan lakonan saya. Sepanjang bekerja, akan ada ilmu baru yang saya dapat.
“Semakin banyak perkara yang kita lakukan, keinginan untuk tahu benda baru semakin membuak-buak. Kalau tak belajar, kita akan berada di takuk lama,” katanya.
Tahun ini, dua filem lakonan Ashraf bakal menggegarkan pawagam seluruh negara iaitu Musyrik dan XXRay 3.
“Alhamdulillah, tahun ini ada banyak pula rezeki dalam bidang lakonan. Sebelum ini filem Bukan Cinta Malaikat ditayangkan di pawagam dan mendapat reaksi positif daripada penonton.
“Diharap ramai boleh terima filem Musyrik lakonan saya bersama Ruhainies dan Aeril Zafrel. Begitu juga dengan XXRay 3, kesinambungan filem XXRay yang pernah ditayangkan pada 1995,” katanya.
Terbaru, dia baru sahaja selesai menjalani penggambaran drama Geng Tadarus yang akan ditayangkan di RTM pada Ramadan ini.
Sementara itu, dua drama lakonannya juga sedang ditayangkan di TV3 iaitu Cinta Hati Batu dan Budak Boys.