Terasa hati, Nabila Razali mohon maaf


Tidak keterlaluan jika menyifatkan penyanyi Nabila Razali merupakan individu yang cukup meledak namanya ketika ini dalam industri muzik tanah air. Semuanya gara-gara lagu Pematah Hati yang menjadi viral kira-kira dua bulan lalu yang mana kini sudah mencecah hampir 17 juta tontonan di YouTube.

Situasi tersebut secara tidak langsung membuatkan rutin penyanyi berusia 26 tahun itu boleh dikatakan berubah secara mendadak. Ini kerana, hampir setiap hari jadual kerjanya tersusun padat dengan undangan nyanyian dan sesi penggambaran.

Malangnya, dalam dia sedang mengecap nama, timbul dakwaan mengatakan bahawa penyanyi berusia 26 tahun itu dikatakan sudah mula bersikap sombong. Perkara itu tercetus selepas ada pihak yang juga orang dalam industri mendakwa Nabila seolah-olah sudah lupa diri.

Sungguhpun begitu, bagi pemilik nama sebenar Nur Nabila Mohd. Razali dia tidak melenting diri apabila mendengar perkhabaran tersebut. Katanya, dia tidak menolak kemungkinan, barangkali ada tindak tanduk dirinya yang terlepas pandang sehingga membuatkan ada pihak terasa hati dengan dirinya.



“Saya sendiri terkejut apabila mendengar cerita seperti itu. Saya pun tidak tahu ada pihak yang berkecil hati dengan saya. Sehingga kini, saya masih lagi sama seperti mula-mual saya masuk dalam industri.

“Cumanya, mungkin ada yang terasa hati dengan diri ini tanpa saya sedar. Apapun, saya tidak pernah ada niat nak membuatkan mana-mana pihak terguris atau mahu bersikap sombong seperti cerita yang baharu saya dengar ini. Jika ada yang berkecil hati, saya memohon maaf,” luahnya ketika dihubungi Sensasi Bintang baru-baru ini.

Menurut Nabila lagi, sehingga kini hubungan dirinya dengan orang sekeliling masih tetap terjaga. Cumanya, ada masa-masa tertentu dia tidak dapat memenuhi permintaan semua orang atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.

“Memang agak susah kita nak jaga hati semua pihak. Apapun, saya sentiasa menjaga hubungan baik dengan orang sekeliling. Kawan-kawan lama pun masih lagi berhubung. Saya memang ada kelompok kawan-kawan tertentu yang memang rapat.

“Mungkin panggilan telefon atau mesej yang masuk saya tidak dapat respons secara terus, tetapi biasanya saya akan jawab selepas selesai semua kerja. Saya tidak pernah lupa diri, lagipun saya ini masih lagi baharu dalam industri,” jelasnya.



Dalam perkembangan lain, biarpun mengecap populariti dengan lagu Pematah Hatinya itu, Nabila sedar ada komen-komen negatif yang menyifatkan dirinya sebagai artis yang tidak boleh menyanyi secara live.

“Saya melihat perkara itu daripada sudut positif, segala kekurangan yang ada akan cuba diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Adakalanya, dalam persembahan berskala besar, saya sendiri masih berasa gugup. Apapun, dalam setiap persembahan, saya sedaya upaya untuk cuba berikan yang terbaik,” kongsinya yang bakal mendendangkan lagu berjudul Cahaya Juara untuk runut bunyi filem biografi Datuk Lee Chong Wei.

Post a Comment

Previous Post Next Post