Izreen Azminda Mulut orang 
bukan kita boleh tutup


Biarpun berita mengenai pelakon jelita, Izreen Azminda yang melangsungkan perkahwinan secara rahsia dengan seorang pemuzik dikenali dengan panggilan Ude telah beberapa bulan berlalu, namun kehangatan kisah mereka itu masih mampu menghangatkan suhu termometer.

Buktinya, ekoran daripada berita perkahwinan mereka yang bertebaran di laman sosial, nama wanita berusia 33 tahun itu terus-menerus dikecam, malah apa sahaja yang berkaitan dengan dirinya pasti akan dilihat sumbang oleh segelintir pengikut industri hiburan tanah air.

Maka tidak hairanlah, baru-baru ini sekali lagi nama Izreen dikritik netizen gara-gara menjadi penghias muka depan bersama seorang lagi penyanyi yang bergelar isteri nombor dua, Adira untuk edisi Februari sebuah majalah hiburan tempatan.

Kebanyakan netizen berpendapat majalah berkenaan tidak seharusnya mengangkat kedua-dua artis berkenaan sebagai penghias muka depan.

Rentetan itu, pelbagai kecaman telah dilemparkan kepada kedua-dua artis itu dan ia menjadi makin panas kerana ada antara mereka yang mahu memboikot dan tidak mahu membeli edisi majalah berkenaan.

Sensasi Bintang cuba mendapatkan reaksi dan komen daripada mulut wanita yang pernah memenangi anugerah Pelakon Pembantu Wanita Terbaik Drama menerusi Anugerah Skrin 2013.

Bagaimanapun, Izreen mengambil langkah untuk tidak mahu memberikan penjelasan lanjut.



“Saya tidak mahu lagi bercakap dan memberi sebarang komen mengenai perkara ini,” ujarnya ringkas.

Menjawab mengenai kutukan yang dilemparkan terhadapnya, pelakon yang membintangi beberapa drama termasuk Eksperimen Cinta dan 7 Suami itu mengambil pendekatan untuk tidak peduli mengenai kutukan berkenaan.

“Biarlah mereka nak cakap apa pun. Mulut orang bukan kita boleh tutup.

“Janji hubungan saya dan suami okey serta menjalani kehidupan normal macam orang lain juga,” jelasnya.

Tambah anak kelahiran Perlis itu, dia tidak terkesan dengan kutukan yang dilemparkan kepadanya.



“Semua itu tidak memberikan apa-apa kesan kepada kami,” tegasnya.

Pada awal bulan lalu, nama Izreen juga menjadi panas ekoran dakwaan netizen yang mengatakan sekeping foto yang memaparkan sebuah kereta yang disembur cat merah dengan tulisan ‘Perampas Laki Orang’ di laman sosial adalah miliknya.

Bagaimanapun, Izreen telah tampil menafikan dakwaan tersebut.

Post a Comment

Previous Post Next Post