Penyanyi, Sufie Rashid, 27, bersyukur kerana pulih sepenuhnya daripada penyakit tonsillitis atau tonsil dihidapi sejak beberapa tahun lalu.
“Alhamdulillah, keadaan saya sudah pulih sepenuhnya. Kalau ditanya berapa lama saya menghidap tonsil, saya sendiri tak pasti.
“Tapi, saya mula sedar bahawa saya sakit pada awal Februari lalu dan selepas menjalani pemeriksaan, rongga hidung dan tekak saya dah membengkak agak lama,” katanya kepada Harian Metro.
Tambah juara AF2015 itu lagi, dia juga dinasihatkan doktor supaya berehat daripada nyanyian dan tidak banyak bercakap selama dua minggu.
“Dalam tempoh dua minggu rawatan berlangsung, saya perlu makan ubat dan menyembur ubat semburan diberikan doktor.
“Selain itu, saya perlu menjaga pemakanan supaya sakit tonsil itu tidak merebak dan terus membengkak,” katanya.
Kini, dia mampu menyanyikan semula lagu-lagu bernada tinggi yang tidak mampu disampaikannya sebelum ini.
“Kalau ketika zaman remaja, saya mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi. Tetapi, sejak meningkat usia, saya tak mampu.
“Alhamdulillah, selepas menjalani rawatan, rongga hidung dan tekak saya terbuka semula dan kini mampu menyanyikan lagu-lagu bernada tinggi seperti Madah Berhelah dengan ‘key’ asal Ziana Zain,” katanya.
Terbaru, Sufie sedang membuat persiapan menjayakan konsert jelajah bersama artis-artis di bawah naungan label Rocketfuel.