Penyanyi Sufian Suhaimi mengakui kini lebih tenang meskipun reda pertunangannya putus dengan pelakon, Elfira Loy.
Sufian, 26, mahu terus optimis dan mengakui hubungannya dengan Elfira masih baik.
“Masih ada tertinggal sedikit rasa sedih itu. Bagaimanapun saya sudah kembali tenang dan menerima ketentuan itu dengan hati yang terbuka.
“Segala urusan mengenai hal itu pun diselesaikan dengan cara baik. Tiada dendam dan yang pasti saya dengan El (Elfira) masih ok,” katanya.
Sufian juga mengakui dia tidak perlu rasa canggung jika berjumpa dengan Elfira selepas ini.
“Industri ini kecil dan kebarangkalian berjumpa itu memang tinggi. Kami masing-masing profesional dan perlu meletakkan perkara itu sebagai had antara kami,” katanya.
Sementara itu, sebuah video Sufian menyanyikan lagu barunya berjudul Di Matamu mulai menjadi trending sepuluh teratas di YouTube sejak semalam.
Menurut Sufian, ia satu petanda yang cukup baik untuk lagu berkenaan meskipun belum dilancarkan secara rasmi.
“Ia satu perkembangan yang positif meskipun lagu sebenar belum saya lancarkan. Saya bersyukur sambutannya begitu memberangsangkan.
“Saya memang berharap lagu itu akan pergi jauh dan diterima lebih baik daripada lagu sebelum ini,” katanya.