Sufian akui sedih apabila hubungannya dengan Elfira berakhir tidak seperti yang dirancang.
Penyanyi Sufian Suhaimi berkongsi bagaimana peritnya melalui pengalaman putus tunang dengan Elfira Loy sehingga menistis air mata disebabkan terlalu sedih dengan kejadian itu.
Sufian, 26, berkata dia sudah menerima takdir itu dengan tenang dan bersyukur mendapat sokongan serta kata-kata semangat daripada orang sekeliling.
"Sejujurnya saya akui memang sangat sedih. Apabila perkara ini berlaku, jatuh jugalah air mata ‘jantan’ saya tapi bukanlah di hadapan kamera.
"Tapi Alhamdulillah, saya ada sokongan daripada keluarga, rakan-rakan artis yang sentiasa memberi kata-kata semangat dan peminat yang tidak pernah putus mendoakan saya.
"Saya reda dan menerima segala takdir yang sudah tertulis dengan tenang dan ketentuan dari Allah," kata Sufian.
Sufian reda dengan takdir yang telah tertulis untuknya.
Sufian ditemui ketika program temuduga Skim Latihan Satu Malaysia (SL1M) di Maeps, di sini pada Ahad.
Menurut Sufian, buat masa sekarang dia tidak mahu memikirkan soal cinta dan hanya ingin memberi tumpuan pada kariernya.
"Buat masa ini saya tak nak fikir soal cinta atau mencari pengganti. Saya nak beri tumpuan sepenuhnya pada karier nyanyian.
"Perjalanan seni saya masih jauh. Saya sudah ada perancangan untuk kerjaya selepas ini," ujarnya.
Dalam pada itu, Sufian memberitahu lirik lagu terbarunya, Ku Dimatamu itu dicipta pada pertengahan tahun lalu dan bukanlah selepas berakhirnya kisah pertunangannya dengan Elfira.
Elfira percaya naluri ibunya.
"Sebenarnya lirik lagu tersebut dah ada sejak tahun lalu lagi. Memang saya bercadang untuk keluarkan lagu tersebut pada tahun ini.
"Bukanlah dicipta selepas berakhirnya hubungan saya dan Elfira. Cuma, semua yang terjadi ini seperti kebetulan sama dengan maksud lirik tersebut.
"Lagu itu juga sangat peribadi bagi saya kerana mengisahkan kehidupan saya yang secara kebetulan sahaja," ujarnya.
Kata Sufian, lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen tu akan dilancarkan pada 23 atau 24 Mac depan yang merupakan tarikh awal perancangan perkahwinannya.
Sufian bakal lancarkan lagu terbarunya pada bulan Mac depan.
"Insya-Allah saya akan lancarkan lagu tersebut pada 23 atau 24 Mac depan. Tarikh itu sebenarnya tarikh awal perancangan untuk berkahwin.
"Jadi, saya ingat nak jadikan tarikh tersebut sebagai kenangan terindah juga sebab itu saya pilih untuk lancarkan lagu terbaru," katanya.
Pada 18 Februari lalu, pihak keluarga Elfira mengesahkan sudah bertemu dengan keluarga Sufian untuk memulangkan cincin pertunangan mereka.
Pasangan itu mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober tahun lalu dan sepatutnya melangsungkan perkahwinan pada Mac ini.