Pada kebiasaan, rutin hariannya diisi dengan aktiviti seni seperti berada di lokasi penggambaran mahupun pentas nyanyian. Namun, sejak empat bulan lalu graf tersebut mula mempamerkan perubahan.
Setiap ruang waktu mula diisikan dengan aktiviti riadah seperti berbasikal, berenang dan joging. Segala usahanya itu bukan sekadar aktiviti riadah biasa yang hanya untuk memastikan kesihatan dalam keadaan baik.
Ia sebaliknya kerana lelaki bernama Muhammad Alif Mohd. Satar atau lebih dikenali dengan nama glamor, Alif Satar ingin mempersiapkan diri mengharungi cabaran 1.9 kilometer (km) renang, 45km berbasikal dan 10km larian.
Kesanggupannya yang sedia bersusah payah itu kerana dia ingin melakukan anjakan dalam hidup, sekali gus melakar ‘lukisan’ unik pada kanvas kehidupannya yang sentiasa dilimpahi dengan percikan populariti.
“Saya telah lama berhasrat untuk menyertai acara sukan triatlon tetapi disebabkan kesibukan jadual kerja dan mungkin keazaman itu masih belum cukup kuat menyebabkan rencana tersebut tergendala.
“Oleh kerana sudah terlalu lama memeram impian tersebut, saya kemudian nekad untuk melakukannya pada tahun ini. Sebab itu persediaan awal perlu dilakukan,” jelas pelantun lagu Lelaki Seperti Aku itu.
Mengulas lanjut mengenai latihan, Alif memberitahu, kepadatan jadual kerja kadangkala menyebabkan dia terpaksa melakukan pengorbanan melibatkan masa berehat.
Setiap ruang senggang yang ada, dia akan cuba memaksimumkan masa tersebut untuk dibahagikan antara latihan persediaan triatlon dan keluarga.
Kata Alif, dia bersyukur keluarga terutama isteri, Sha Dila Halid memberikan reaksi positif, selain menyokong penuh keinginannya menjadi sebahagian daripada peserta triatlon yang bakal berlangsung sekitar November depan di Kedah.
Tambahnya lagi, sejak usia remaja, melibatkan diri dalam acara sukan di sekolah merupakan perkara yang tidak asing bagi dirinya. Paling digemari oleh Alif ialah acara sukan renang.
“Bukan mahu berlagak tetapi setiap kali menyertai pertandingan renang, tiada individu lain yang akan membawa pulang pingat emas kecuali saya. Boleh dikatakan setiap pertandingan yang saya sertai pasti akan menang,” seloroh Alif sambil melepaskan ketawa kecil.
Berkongsi tentang persiapan, Alif yang ditemui selepas mengadakan persembahan solo pada acara An Evening With Alif Satar di Timbre, Kuala Lumpur minggu lalu turut mengatakan dia tidak terbeban dengan gaya hidup sebegitu.
Paling utama baginya adalah teknik pengurusan masa untuk diri sendiri terutama melibatkan kerjaya nyanyian dan lakonan serta keluarga, sementelah dia kini telah memiliki dua orang cahaya mata Alisha Anugerah, 3, dan Ariana Mecca, 1.
Tidak menjadikan kesibukannya sebagai alasan untuk mengelak daripada komitmen, Alif memandang situasi tersebut sebagai salah satu cara untuk dia mendisiplinkan diri dan memberi lebih tumpuan kepada sesuatu perkara.
“Aktiviti seni berjalan seperti biasa, cuma sekiranya ada masa terluang saya memberi fokus kepada perkara lain seperti latihan. Sesi latihan tidak akan mengganggu perjalanan rutin nyanyian mahupun lakonan.
“Hal itu kerana saya akan selitkan masa latihan sekitar dua atau tiga jam terutama selepas waktu Subuh sekitar pukul 5 pagi. Sekiranya tidak berkesempatan pada waktu siang, saya akan melakukan latihan pada sebelah malam terutama joging,” terang Alif panjang lebar.
Kesempurnaan
Selain memberi fokus kepada persediaan triatlon, Alif turut meluahkan rasa syukur apabila perjalanan kerjaya seninya kini bergerak pantas di atas laluan trek yang tidak pernah dibayangkan.
Sejak naskhah Dia Semanis Honey pada 2016, dan disusuli dengan Red Velvet (2017) telah membentangkan laluan pantas buat Alif yang kini digilai peminat terutama golongan wanita.
Tidak hanya lakonan, kerjaya nyanyian Alif turut meraih perhatian lantas berjaya menempatkan diri dalam acara berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) pada tahun lalu menerusi lagu Selamanya Cinta.
Berbeza pada AJL32 yang bakal berlangsung pada 11 Februari ini di Axiata Arena, Bukit Jalil, dia akan bergandingan dengan pengacara popular, Sherry Al-Hadad sebagai hos rancangan.
Peluang keemasan itu bagaimanapun tidak dianggap sebagai satu kesempurnaan dalam portfolio seninya. Dia menjadikan ia sebagai langkah awal untuk mengukuhkan posisi sebagai pengacara.
“Peluang mengendalikan program hebat seperti itu boleh dikatakan seperti satu anugerah sepanjang kerjaya saya. Tambahan, saya sendiri belum pernah memenangi sebarang anugerah tidak mengira sama ada kategori popular mahupun terbaik.
“Bukan senang bagi seorang penyanyi yang dahulunya masuk bertanding tetapi kali ini bertindak sebagai pengacara rancangan. Ia suatu perkara yang membanggakan buat diri sendiri dan secara peribadi saya banyak melakukan rujukan bagi memastikan segalanya berjalan lancar,” ujar Alif.
Pada masa sama, dia turut tidak menafikan wujud sekelumit rasa gentar sekiranya peminat meletakkan kelancaran AJL32 di atas bahu pengacara.
“Penonton akan menilai kejayaan sesebuah acara melalui pengacaraan tetapi sebenarnya ia adalah sebaliknya. Bintang yang bakal membuat persembahan pada malam itu adalah bintang sebenar, manakala tugas saya pula adalah orang tengah antara mereka dan khalayak,” kata pelakon berusia 28 tahun itu.
Bagi mempersiapkan dirinya untuk menggalas tanggungjawab tersebut, Alif kerap meluangkan waktu menonton teknik pengacaraan selebriti tempatan dan antarabangsa seperti Datuk Aznil Nawawi, Ryan Seacrest dan Jimmy Kimmel.
Mengharapkan segalanya berjalan lancar, Alif mahu memastikan dalam acara kemuncak kelak dia berjaya mengendalikan program terbabit dengan baik dan pada masa sama meninggalkan kenangan manis buat penonton.
Kesibukan aktiviti seni antara kerjaya lakonan, nyanyian dan pengacaraan tidak membataskan Alif Satar meneruskan keinginan melakukan persediaan menyertai acara triatlon dalam cabaran 1.9 kilometer (km) renang, 45km berbasikal dan 10km larian.