Selepas Sofi Jikan, polis buru lagi dua orang


Selepas pelakon Sofi Jikan ditahan reman, kini tumpuan beralih kepada dua orang lagi rakan artis yang dikatakan turut terlibat menganiayai Datuk Farid Kamil seperti yang didakwa oleh pelakon dan pengarah tersebut.

Dua orang artis yang dimaksudkan itu difahamkan adalah bekas penyanyi era 90-an.

Melalui laporan, Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor berkata, polis memberi tempoh sehingga esok untuk dua lagi individu yang dikenali Ahmad Tajuddin atau Taj dan Firdaus untuk tampil bantu siasatan.

Jika enggan, tindakan tegas akan dikenakan.

Dipercayai salah seorang daripada mereka berada di Johor Bahru.

Terdahulu, pada 31 Januari Farid didakwa mendedahkan tiga rakan artis yang meletakkan dadah dalam minumannya.



Ekoran itu, Sofi direman tiga hari selepas didapati positif dadah jenis ganja ketika hadir memberi keterangan.

Pelakon itu disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya serta perintah pengawasan sehingga tiga tahun.



Imbas kembali, pada 16 Januari lalu, Farid Kamil didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, atas empat pertuduhan iaitu dua tuduhan menyebabkan kecederaan, berkelakuan tidak senonoh dan mengganggu penjawat awam di Balai Polis Trafik Kota Damansara.

Manakala pada 25 Januari lalu, Farid Kamil mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret sama, atas pertuduhan mengambil dadah jenis jenis 11-nor-delta-9-tetrahydro cannabinol-9-carboxylic acid (THC).

Post a Comment

Previous Post Next Post