Raysha Rizrose teroka bidang nyanyian


Selepas menjuarai Dewi Remaja 2015, wanita cantik bernama Raysha Rizrose ini mula mendapat perhatian ramai. Lebih-lebih lagi memegang status adik kepada pelakon Nelydia Senrose dan Uqasha Senrose, laluan Raysha untuk bertapak membina nama dalam industri hiburan dilihat tampak lebih mudah.

Sungguhpun begitu, hakikatnya pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd. Fariz itu tidak pernah menumpang populariti sesiapa pun. Ini kerana, wanita berusia 21 tahun itu berjaya membuktikan dirinya juga punya bakat tersendiri yang boleh dibanggakan.

Maka tidak hairanlah, selepas membintangi drama Pinggan Tak Retak, Nasi Tak Dingin, nama Raysha semakin mula menyinar dalam dunia lakonan selepas membawakan watak sebagai Yuhanis dalam naskhah arahan Nizam Zakaria itu.

Selepas mencipta nama dalam dunia lakonan, kata Raysha, tahun ini dia mahu mencuba sesuatu yang baharu pula dalam lapangan seni yang lain.



Menyanyi

Justeru, pelakon filem Dukun Doktor Dani itu memberitahu, dia kini merancang untuk bergelar seorang penyanyi pula.

“Sejujurnya, pada tahun 2018 ini saya tengah merancang sesuatu yang agak berbeza sedikit dengan apa yang saya lakukan ketika ini. Mungkin saya akan melibatkan diri dalam bidang nyanyian pula. Apapun, saya tidak berani untuk bercakap lebih-lebih.

“Lagipun, buat masa ini, apa yang boleh dikongsikan, saya masih lagi dalam proses mempersiapkan diri (untuk bergelar seorang penyanyi). Bukan apa, bagi saya biarlah tahun ini menjadi permulaan untuk saya jadi seorang yang lebih versatil dalam karier seni,” katanya kepada Sensasi Bintang pada satu sesi fotografi baru-baru ini.

Bukan mahu bersikap tamak, cuma, kata Raysha, dia tidak pernah meletakkan sebarang had dalam bidang seni yang sudah menjadi kecintaannya sejak dahulu lagi.

“Sebenarnya, dari dahulu lagi saya memang minat menyanyi, berlakon dan juga mengacara. Cumanya, sewaktu mula-mula mahu menceburi industri hiburan ini, saya tidak tahu mahu mulakan bidang yang mana terlebih dahulu. Jadi, saya fikir mengapa tidak untuk saya mencuba sesuatu yang lain pula pada tahun ini,” katanya.

Biarpun begitu, kata Rasyha, hasratnya itu tidak membawa maksud bahawa kecintaannya dalam dunia lakonan sudah mula pudar. Baginya, tiada alasan untuk meninggalkan dunia lakonan kerana percaya semua itu boleh bergerak seiring.

Apa yang utama, kata Raysha dia perlu bersifat realistik. Ini kerana, apa yang mahu digapainya itu bukan boleh dikecapi mudah kerana semuanya memerlukan perancangan rapi.

“Semua ini perlukan masa. Saya sendiri tidak berani nak cakap bila saya akan keluar dengan single sendiri.

“Apa yang penting, hasrat saya untuk menyanyi ini bukanlah bermaksud sudah bosan untuk berlakon. Lakonan sentiasa menjadi salah satu minat saya. Peluang dan tawaran yang dirasakan sesuai sudah pasti saya tidak akan tolak,” kongsinya yang memberitahu meminati genre R&B dan balada.

Menyedari mungkin ada kata-kata negatif yang menyifatkan pelakon drama Isteriku Miss Sally itu seolah-olah seperti terlalu mahu mencuba semua bidang, katanya, dia tidak pernah ambil pusing dengan kata-kata negatif.

“Bagi saya, jika kita ingin mencuba tak salah pun. Saya melihat ia merupakan sesuatu yang bagus. Bukanlah tidak membawa faedah, sebaliknya ia merupakan satu ­tindakan yang produktif. Walaupun orang kata tidak boleh menyanyi, sekurang-kurangnya kita mencuba. Jika berjaya, itu satu rezeki juga,” katanya yang meminati penyanyi yang mempunyai gaya tersendiri seperti Yuna dan Jaclyn Victor.

Pada masa sama, kata Raysha, dia juga menerima sokongan daripada ahli keluarganya. Justeru, tidak timbul isu dia memilih nyanyian kerana mahu lebih menonjol berbanding Nelydia dan Uqasha.

“Kalau Nelydia dan Uqasha mahu menyanyi pun saya akan beri sokongan. Dari dahulu lagi, ahli keluarga memang tahu saya suka menyanyi, cuma nak merealisasikan itu hanya masa yang menentukan. Bahkan, mereka pun ada tanya saya bila nak keluar dengan single pertama,” kongsi pelakon drama Apa Dah Jadi itu.

Apa yang pasti, Raysha boleh dikatakan bertuah. Ini kerana, setiap apa yang dilakukannya, dia sentiasa mendapat sokongan daripada seorang lelaki yang disifatkan sebagai insan yang cukup istimewa di hatinya.



Kekasih

Jika ada sesetengah artis cuba menyembunyikan hubungan cinta mereka, berbeza pula dengan pendekatan yang dilakukan Raysha yang lebih bersifat terbuka.

“Kalau orang tak tanya, saya memang tidak bercerita. Rasanya, sesiapa yang mengikuti saya di Instagram, pasti perasan yang saya selalu dengan seorang lelaki. Ramai yang tahu status saya.

“Lagipun, sebenarnya, kami sudah mula berkenalan sejak dari zaman persekolahan lagi. Ini kira sudah masuk tahun keenam perkenalan kami,” katanya yang menjalin hubungan cinta dengan pelumba kereta Formula 2, Nabil Jeffri.

Menurut Raysha, hubungan mereka disifatkan sebagai hubungan jarak jauh. Ini kerana, teman lelakinya yang mempunyai salasilah keturunan Arab-Pakistan itu banyak menghabiskan masa di luar negara.

“Dia banyak berada di luar negara. Setiap tahun berbeza-beza ikut perlumbaan yang dia sertai. Sebelum ini dia pernah duduk di Jerman, Itali dan London, England. Kadang-kadang, tiga hingga enam bulan baru dia pulang ke sini,” kongsinya.

Kata Raysha lagi, buat masa ini dia belum terfikir untuk mengakhiri zaman bujang. Ini kerana, dia mahu mengejar cita-citanya sebagai seorang anak seni terlebih dahulu.

“Saya tidak letak hubungan sebagai nombor satu. Lagipun, masing-masing mempunyai cita-cita yang ingin digapai. Kami letak cita-cita sebagai keutamaan. Cumanya, kalau kami sudah bersedia (mengakhiri zaman bujang), kami akan kongsikan kepada umum.

“Tambahan pula, saya baru 21 tahun, dia pun muda lagi baru 25 tahun. Ahli keluarga memang tahu yang kami berkawan. Saya pun rapat dengan keluarganya begitu juga sebaliknya. Belum ada lagi perancangan berumah tangga,” jelasnya yang memberitahu mengenali lelaki berkenaan menerusi kakaknya, Nelydia.

Apa yang penting, kata Raysha, masing-masing memberi sokongan terhadap apa yang dilakukan antara satu sama lain.

“Kalau dia ada masa terluang, ada juga menyuruhnya menonton drama lakonan saya. Saya suruh dia komen. Mungkin ada yang perlu saya perbaiki,” seloroh pelakon Misi Laksa & Laksam itu.

Dalam perkembangan lain, kata Raysha, dia bakal muncul dengan drama berjudul Zahir Tak Terucap bergandingan bersama pelakon Saharul Ridzwan selaku teraju utama.

“Itu merupakan pertama kali saya bergandingan dengan Saharul. Seronok dapat bekerjasama dengannya. Kami sudah menjalani penggambaran pada Oktober tahun lalu dan dijangka tayangannya dalam masa terdekat ini,” katanya yang memberitahu drama bersiri 13 episod itu bakal disiarkan di slot Zehra TV3.

Post a Comment

Previous Post Next Post