Deera Aminudin pertaruhkan Graviti


Baru berusia 19 tahun, Deera teruja memperkenalkan single perdananya, sebuah lagu cinta yang mempunyai tema meluas berjudul Graviti.

Minat mendalam terhadap bidang seni sejak kecil menyebabkan penyanyi baharu Deera Aminudin tidak pernah berputus asa untuk terus berjuang memperdagangkan bakat yang ada dalam diri.

Meskipun baru berusia 19 tahun, Deera mempunyai pengalaman yang luas dalam industri hiburan. Sebenarnya pada usia 11 tahun, Deera pernah menjadi finalis program Idola Kecil musim ketiga.
Walaupun gagal meraih sebarang tempat dalam pertandingan tersebut, tetapi ia telah membuka mata Deera terhadap dunia hiburan yang sebenar.

“Jujur saya katakan program itu membuatkan saya lebih matang dan tahu apa yang diinginkan walaupun masih kecil.

“Sebaik tersingkir, saya tekad untuk menjadi penyanyi kerana itu minat saya. Alhamdulillah dengan sokongan keluarga, sebaik tamat peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) saya boleh meluaskan lagi langkah dalam bidang seni,” katanya yang pernah menjadi pengacara program Bananana Squad di TV3.

Tidak menoleh ke belakang, Deera akhirnya muncul dengan single berjudul Graviti yang dicipta oleh Tam Spider dan lirik nukilan Adam Iskandar.

Sungguhpun terpaksa mengeluarkan sendiri kos sebanyak RM12,000 untuk lagu dan promosi, bagi Deera semuanya berbaloi kerana dia mendapat lagu berkualiti daripada komposer terkenal.

“Saat mendapat lagu dan lirik, saya menangis kerana teruja dan suka dengan hasilnya. Tam benar-benar memahami saya yang tidak sukakan lagu cinta mendayu-dayu, sebaliknya lahir dengan melodi rancak.

“Liriknya juga boleh dikaitkan dengan cinta terhadap keluarga, alam sekitar dan semua yang berada di sekeliling kita. Bukanlah cinta antara pasangan kekasih semata-mata,” kongsi Deera tentang single pertamanya itu.



Bahagi masa

Biarpun Deera sedang menyambung pengajian peringkat Diploma dalam jurusan teater di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) ia tidak menghalangnya untuk meneruskan cita-cita sebagai penyanyi.

Jelasnya, dia tidak mempunyai sebarang masalah antara kerjaya dan pelajaran kerana bijak dalam membahagikan masa.

“Alhamdulillah pelajaran tidak pernah terganggu kerana saya hanya mengadakan promosi single dan membuat aktiviti seni lain ketika cuti semester sahaja.

“Keluarga juga banyak memberikan sokongan. Bukan sahaja daripada segi kewangan, tetapi moral. Jika tanpa sokongan mereka, saya tidak akan keluarkan single dan menjadi Deera seperti hari ini,” jelasnya yang juga seorang pelakon teater.

Kini, selain bergelar penyanyi dan pengacara, Deera juga mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan. Produk pertama yang dikeluarkan adalah serum rambut.



Disoal, tidakkah dia kelihatan terlalu tamak kerana cuba melakukan semua pekerjaan dalam satu masa? Balas Deera, dia gembira dengan apa yang dilakukan dan selagi boleh mahu merebut semua peluang yang hadir.

“Bagi saya normal untuk ada lebih daripada satu pekerjaan pada masa sekarang. Bukan tamak, tetapi pada usia muda saya mahu mencuba semua benda.

“Saya sendiri berkawan dengan ramai orang lebih dewasa. Secara tidak langsung ia mematangkan saya untuk merancang masa depan dengan lebih teliti. Oleh itu, saya tidak mahu membazirkan waktu muda begitu sahaja,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post