Pekin Ibrahim, Josiah harap sokongan peminat


Pekin Ibrahim (duduk) dan Josiah berharap penonton mampu menerima filem Surf This Love yang mengetengahkan kehidupan seorang peluncur air.

Aeiring tayangan filem Surf This Love yang bermula semalam, dua orang pelakonnya, Pekin Ibrahim dan Josiah Hogan mengharapkan peminat boleh menerima konsep yang berbeza daripada kebiasaan.

Menurut Pekin atau nama sebenarnya, Mohd. Iznan Ibrahim berkata jika selama ini masyarakat sering mempertikaikan mengapa industri sering menghasilkan filem klise seperti percintaan, rempit dan gengster maka Surf This Love ialah antara karya yang mengetengahkan sesuatu yang baharu.

Memegang watak Jimmy John, Pekin berkata peminat akan menyaksikan karakter yang berbeza berbanding filem-filem sebelumnya kerana dia perlu menjadi seorang yang lucu dan tidak terlalu serius.

“Bagi mereka yang mengenali saya pasti tahu saya bukan seorang pelawak dan setiap watak yang dibawa sebelum ini kebanyakannya karakter serius ataupun berat.

“Susah sebenarnya untuk membuat lawak dalam lakonan kerana ia bukan kepakaran saya. Namun saya bertuah kerana bekerja dengan orang-orang yang sudah dianggap kawan maka tidak terasa kekok bila ada babak komedi itu,” katanya dalam satu sesi fotografi di Studio Utusan, baru-baru ini.

Selain itu pada pendapat Pekin, Surf This Love yang mengisahkan kehidupan seorang peluncur air merupakan satu jalan cerita yang menarik kerana belum ada cerita yang dibuat bagi menyelami golongan minoriti seperti ini.



Banding

Bagi Josiah yang memegang watak Mike Malaya pula, dia berharap peminat industri perfileman Malaysia dapat pergi menonton Surf This Love dengan fikiran yang terbuka dan bukan sekadar mahu mencari kelemahan karya tempatan.

Tambah pemilik nama Mohamad Musleh itu lagi, peminat perlu menunjukkan sokongan yang lebih padu kepada usaha yang cuba dilakukan oleh penggiat seni tanah air untuk memberikan kelainan berbanding hanya mahu menjatuhkannya.

“Filem ini sangat santai dan plot penceritaan yang mudah difahami serta boleh dinikmati oleh seisi keluarga. Ia sesuatu yang berbeza dengan filem-filem tempatan yang sudah ada dalam pasaran sebelum ini jadi janganlah ia dibandingkan dengan karya-karya Hollywood.

“Tidak dinafikan kualiti kebanyakan filem kita semakin meningkat dan bertambah baik namun ia mengambil masa. Kritikan itu bagus cuma biarlah berlapik. Saya harap Surf This Love boleh mendapat tempat dalam hati peminat dan memberi mereka satu pilihan baharu untuk ditonton,” jelasnya lagi.



Selain Pekin dan Josiah, Surf This Love turut dibintangi oleh Shukri Yahaya, Cristina Suzanne, Mustaqim Bahadon serta Ardell Aryana.

Filem tersebut mengisahkan Shukri sebagai Billy yang mahu mengikut jejak langkah abangnya (Pekin) menjadi seorang peluncur air berjaya namun sering berdepan dengan kegagalan. Pertemuannya dengan seorang penulis blog lakonan Cristina mula mencambahkan semangat baharu dalam diri Billy bagi mengejar cita-citanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post