Faizal Tahir meluahkan rasa gembira apabila lirik lagu ciptaannya bertajuk Negaraku mendapat perhatian daripada Perdana Menteri di media sosial, Twitter hari ini.
Penyanyi popular, Faizal Tahir meluahkan rasa gembira apabila lirik lagu ciptaannya bertajuk Negaraku mendapat perhatian daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di media sosial, Twitter hari ini.
Kata Faizal, 37, tindakan Najib yang memuat naik lirik lagu tersebut di Twitter secara tidak langsung membuatkan dirinya bersemangat untuk menghasilkan lagu mempunyai nilai cintakan negara.
"Saya berasa seperti seorang kanak-kanak kecil yang berasa gembira apatah lagi ia mendapat perhatian seorang tokoh negara. Ia lantas membuatkan saya bersemangat untuk menghasilkan lagu seperti itu lagi pada masa akan datang," jelasnya yang ditemui pada majlis sidang akhbar misi kemanusiaan, Faith For Rohingya di sini petang tadi.
Bagaimanapun, Faizal atau Ahmad Faizal Mohammad Tahir memberitahu, dia enggan membuat lagu berbentuk patriotisme yang hanya akan berkumandang pada sambutan tertentu sahaja.
"Saya enggan mengklasifikasikan lagu tersebut sebagai patriotisme kerana ia hanya diputarkan pada acara tertentu. Justeru, ia lebih bersifat universal dan mempunyai mesej cintakan pada negara," ujarnya.
Selain Faizal, lagu Negaraku juga merupakan ciptaan Ezra Kong, Mike Chan dan Faizal Tahir serta dinyanyikan oleh Faizal bersama Joe Flizzow, Altimet dan SonaOne.
Dalam perkembangan lain, menerusi pertubuhan IamFaithmen dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Brunei, Hand4Hand bakal berangkat ke Bangladesh bagi misi kemanusiaan, Faith For Rohingya.
Misi bantuan berkenaan akan berangkat pada 5 hingga 8 Mac depan dan melibatkan sumbangan barangan keperluan asas termasuk makanan serta sokongan moral buat pelarian Rohingya.