Amyza tidak mempunyai sebarang isu dengan Aliff Syukri.
Pelakon Amyza Aznan menjelaskan dia tidak mempunyai sebarang isu dengan usahawan kosmetik, Datuk Seri Aliff Syukri Kamarzaman yang dikatakan cuba merosakkan industri lakonan tempatan.
Menurut Amyza, kenyataan yang dikeluarkan kepada usahawan berkenaan baru-baru ini bukanlah berbentuk serangan peribadi namun hanya sejenis teguran santai daripada orang yang 100 peratus terlibat serius dalam industri lakonan tempatan.
Tegasnya juga, teguran yang dibuat adalah tentang video usahawan tersebut yang mahu bakatnya dihargai oleh khalayak.
“Saya kritik kerana tahu betapa susahnya ingin bergelar pelakon ataupun anak seni. Ramai pelakon yang menerima kritikan pedas, tetapi boleh mengambilnya dari sudut positif.
“Tidak menyentuh isu filem Badang atau lakonan beliau. Saya hanya mual kerana beliau memberontak minta dihargai dengan bakat lakonan dia yang pada pandangan saya, tidak meluakkan duit beliau pun. Jadi, jangan cepat melenting kerana kita perlu menjaga kualiti dan imej industri hiburan juga,” ujar Amyza.
Tambah pelakon yang telah 20 tahun menjadi anak seni, ada orang yang dilahirkan memang untuk bergelar pelakon dan sebaliknya.
“Kalau sudah mencuba beberapa kali namun tidak berhasil, mungkin bakat bukan cenderung ke arah itu,” kata pelakon siri komedi Mat Despatch itu ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.
Amyza, 42, turut menasihatkan agar pengasas produk pengasas syarikat D’Herbs itu belajar menerima hakikat dan kritikan orang.
“Beliau harus bersikap profesional. Saya tiada masalah dengan filem lakonannya (Badang) namun belajarlah terima kritikan dan pandangan orang lain.
Baru-baru ini, Aliff yang membawakan watak adiwira Badang dalam filem tersebut kecewa dan terguris hati apabila lakonannya dikritik penonton. Antara pelakon yang lantang menyuarakan pendapat ialah Amyza.
“Aku benci orang berduit kaya raya ni menggunakan platform seni untuk empayar bisnes dia orang. Ini tempat kami cari makan. Bisnes kami, dia tidak layak sebab tiada bakat langsung,” tulisnya.
Amyza menulis komen berkenaan pada status pengarah terkenal Shahrulezad Mohameddin bagi mengulas tentang tindakan Aliff Syukri yang melenting apabila lakonannya dalam filem Badang dikritik penonton.