Nabila Razali Tak pernah pergi kelab tu pun


Penyanyi dan pelakon, Nabila Razali, 26, tegas menafikan dia bukan individu seperti didakwa dalam video tular yang menari sakan di dalam sebuah kelab ternama, baru-baru ini.

Nabila atau Nur Nabila Mohd Razali ketika dihubungi terkejut dan menjelaskan dia tidak pernah berkunjung ke kelab itu.

Apatah lagi hadir ke acara dianjurkan atau berada di kawasan berdekatan.

"Saya bukan individu itu dan kini, jadual saya pun padat kerana terikat dengan urusan kerja sendiri yang lebih penting.

"Buat apa saya ke kelab. Saya tidak ada urusan kerja di situ pun. Namun, dakwaan ini terjadi mungkin kerana gaya tudung dan pemakaian 'wanita itu' seakan-akan saya.

"Jadi, secara tidak langsung ada penonton yang mendapat kiriman video itu terlepas pandang dan mereka ingatkan 'wanita itu' saya," katanya.



Nabila berkata kalau ada pun dia menari, itu hanya boleh ditonton dalam muzik video single Pematah Hati di YouTube. Ujarnya, dia tidak pernah ke kelab untuk menari dan berseronok.

Ditanya apakah dia berkecil hati dengan dakwaan dilemparkan itu, Nabila berkata dia bersikap terbuka dan positif.



"Memang bukan saya, jadi buat apa nak terasa. Lagi pun, saya memang tidak berada dalam acara itu.

"Apatah lagi, keadaan dalam kelab itu pun gelap. Jadi, bila video menari ini tersebar maka sesiapa saja boleh dikatakan seperti itu.

"Saya salah seorang katanya. Namun, saya tegaskan lagi itu bukan saya dan jangan serkap jarang," katanya.

Menurut pelakon drama Hikayat Cinta Si Pematah Hati itu, dia akur dengan lumrah sebagai selebriti mudah terpalit cerita sensasi di kala platform media sosial cukup menjadi perhatian ramai.

Post a Comment

Previous Post Next Post