Puteri ketiga pasangan Lan, Sheila
Umum mengetahui mengenai berita kelahiran anak keempat penyanyi yang kini dikenali dengan nama Lan Solo yang menghadapi masalah sumbing.
Ramai memuji tindakan Lan dan isterinya yang tidak 'menyorokkan' kekurangan anak perempuan ketiga mereka itu sejak dari dalam kandungan lagi.
Mengulas mengenai isu terbabit, isteri Lan Solo, Nur Sheila Hassim, 33, tidak melihat status suaminya sebagai selebriti, menjadi penghalang buatnya berkongsi apa sahaja yang dirasakan perlu.
Menurut Sheila, Lan atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 32, juga tidak menghalangnya berkongsi perihal anak-anak di laman sosial.
"Siapa kenal Lan tahulah dia macam mana. Saya dan Lan tidak kisah untuk berkongsi mengenai hal anak-anak di laman sosial.
"Cuma bezanya, Instagram Lan lebih kepada perkembangan seninya, manakala Instagram saya pula, saya kongsikan apa sahaja yang terlintas di kepala.
"Kami dapat tahu anak menghadapi masalah sumbing ketika usia kandungan 27 minggu. Pada usia kandungan 30 minggu barulah saya berkongsi hal itu di laman sosial.
"Niat saya bukan untuk meraih simpati, tetapi saya mahu berkongsi cerita dan mendapat pendapat dari orang lain.
"Alhamdulillah ramai yang memberi kata-kata semangat, ada juga yang sharing pengalaman mereka dan bila diukur balik dengan nasib orang lain, saya kira lebih bertuah kerana Lan masih berada di sisi saya dan keluarga juga sangat menyokong," katanya.
Bercerita mengenai puteri yang diberi nama Nur Amna Quxandra, Sheila berkata, dia kini sedang berusaha menaikkan berat anaknya bagi memudahkan urusan pembedahan untuk mencantumkan semula bibir yang sumbing.
"Doktor kata, berat yang selamat untuk menjalani pembedahan adalah apabila beratnya sudah mencapai lima kilogram.
"Macam saya katakan tadi, saya bersyukur kerana keadaan Xandra tidak berapa serius di mana sumbing tersebut hanya berukuran 0.5cm sahaja dan melibatkan bahagian bibir. Manakala gusi dan lelangitnya tidak terlibat sama," jelasnya.
Ditanya mengenai pemilihan nama Amna Quxandra, Sheila berkata, nama itu dipilih sendiri oleh Lan.
"Dua anak perempuan kami diberi nama Nur Amna Qaleesya, 8, dan Nur Amna Qeesyara, 6, jadi Lan mahu nama anak perempuan ketiga ini ada sebutan Qu selepas dua kakaknya bermula dengan Qa dan Qe. Macam, Qa, Qe, Qu lah (ketawa)," ujarnya.
Selain itu, Lan dan Sheila yang mendirikan rumah tangga pada 5 Disember 2009, mempunyai seorang anak lelaki, Muhammad Akid Qassyaff, 4 tahun.