Komposer Patrick Anohada memaklumkan pelakon Fathia Latiff mempunyai ton suara dan karakter tersendiri sebagai seorang penyanyi.
Pencipta lagu Bayang nyanyian Khai Bahar ini berkata, dia sudah mempunyai lagu yang sesuai, namun menunggu kesediaan aktres itu untuk bergelar penyanyi secara serius.
"Saya minta dia nyanyi hari-hari kerana untuk jadi penyanyi kena ada pakej yang lengkap bukan sahaja nyanyia secara rakaman tapi boleh menyanyi secara live juga.
"Tidak sangka sekarang suara dia semakin baik, cuma dia sendiri belum bersedia untuk jadi penyanyi," ujarnya.
Patrick percaya Fathia ada bakat sebagai penyanyi/
Patrick yang juga anggota kumpulan I Am Neeta ini mengulas tentang lagu Sakit yang dinyanyikan semula oleh Fathia Latiff mendapat perhatian netizen.
Lagu yang dimuat naik pada malam Rabu lalu itu mendapat lebih 5,000 tontonan di YouTube dengan rata-rata netizen memuji suara pelakon berkenaan.
Ada juga netizen yang mengakui tersentuh dan meremang ketika mendengar lagu nyanyian Fathia.
Sementara itu, Patrick berkata, dia menggubah semula melodi lagu berkenaan mengikut kesesuaian suara pelakon Ariana Rose itu.
"Dia suka sangat lagu itu, jadi saya cadangkan dia nyanyi semula ikut cara dia, saya cuma ubah sedikit melodi sesuai dengan suara dia.
"Sebenarnya dia memang sudah lama nyanyi di studio ini sejak beberapa tahun lalu tapi hanya sekadar suka-suka sahaja," ujarnya.