Hael Husaini tidak menang tangan


Isu ketandusan penyanyi lelaki solo suatu ketika dahulu pernah menjadi bualan dalam industri muzik tempatan.

Jika dilihat ketika itu penyanyi lelaki solo seperti Anuar Zain dan Faizal Tahir seakan-akan tiada pelapis baharu yang boleh mewarnai pentas dunia nyanyian tanah air.

Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, isu ketandusan penyanyi lelaki solo bagai terisi dengan kemunculan beberapa penyanyi baharu yang mencipta fenomena seperti Haqiem Rusli, Khai Bahar, Aiman Tino dan Sufian Suhaimi.

Ini termasuklah bekas anggota duo Azhael, Hael Husaini, 31, yang dilihat semakin bersinar apatah lagi single berhantunya, Jampi diangkat menjadi juara dalam Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32) baru-baru ini.

Memilih untuk bergerak secara solo sejak Februari tahun lalu, nama Hael semakin menjadi bualan peminat seni tempatan disebabkan keunikan dan kelainan menerusi melodi yang dipaparkan.

“Alhamdulillah tidak sangka lagu Jampi mampu meraih kejayaan besar. Sejujurnya semasa kami mencipta lagu ini terdapat banyak dugaan.

“Ini kerana pada permulaan, ada sesetengah pihak yang tidak percaya dengan kemampuan Jampi, malah ada juga berpendapat ia terlalu keanak-anakan,” jelasnya ketika ditemui pada sebuah majlis penghargaan sempena kemenangan Jampi pada AJL32 di Ruang Shah Alam, Selangor baru-baru ini.



Peluang

Populariti lagu ciptaan Hael atau nama sebenarnya, Hal Husaini Razmi, sekali gus memberi tempias kepada komposer muda itu untuk dalam berkarya.

Malah Hael dilihat semakin tidak menang tangan apabila lagu hasil ciptaannya mula menjadi rebutan ramai artis termasuk penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Antara lagu ciptaannya yang popular ialah Pematah Hati nyanyian Nabila Razali, Dia (Dayang Nurfaizah), Hati-Hati (Amira Othman), Girl (Dafi), Semua Untuk Cinta (Indah Ruhaila) dan Rempuh (Tomok & Black).

“Peluang untuk bekerjasama dengan Siti Nurhaliza itu sudah lama diimpikan tetapi baru kini saya mendapat peluang.

“Jika tiada aral melintang, kerjasama ini akan terlaksana cuma menunggu masa yang sesuai, sementelah beliau sendiri memerlukan masa dan saya akan cuba yang terbaik untuk menghasilkan lagu buatnya,” ujar Hael ringkas.

Menurut Hael, selain penyanyi tersohor negara itu, sememangnya terdapat rakan artis lain yang meminta khidmat sebagai komposer tetapi kesemuanya perlu mengikut jadual yang ditetapkan dan dia berjanji untuk menyiapkan sesebuah lagu satu demi satu.

“Buat masa ini, saya baru selesai merakamkan lagu untuk Ayda Jebat dan Stacy. Kedua-dua lagu itu pun merupakan perancangan sejak tahun lalu tetapi baru tahun ini dapat disiapkan,” ujarnya yang berhasrat menghantar kedua-dua ibu bapanya mengerjakan umrah sebagai tanda kesyukuran.



Tolak tawaran

Diyakini sebagai antara komposer muda yang mampu memberi impak ke atas setiap nukilannya, ada ketikanya Hael tidak boleh secara semberono menyahut setiap permintaan membikin lagu yang disuakan kepadanya.

“Sebenarnya ada tawaran mencipta lagu yang terpaksa saya tolak. Bukan terlalu mementingkan soal artis atau bayaran tetapi saya tidak mahu mereka tertunggu-tunggu.

“Ada rakan artis yang datang meminta lagu dan saya hanya boleh menjanjikan untuk melakukannya sekiranya mempunyai kesempatan waktu. “Jika boleh, saya memang akan cuba menyiapkan lagu tersebut tetapi ia memerlukan sedikit masa dan saya tidak mahu mencipta lagu dalam keadaan gelojoh,” jelasnya yang berpendapat kejayaan sesebuah lagu bergantung pada karakter dan penyampaian seseorang penyanyi itu sendiri.

Kongsinya, dia harus memastikan setiap ciptaan dibuat sehabis baik kerana itulah tanggungjawabnya selaku komposer, apatah lagi memikul kepercayaan daripada penyanyi lain.

“Jika kena pada masanya, saya akan cipta lagu untuk penyanyi yang memerlukan khidmat saya. Ada juga permintaan yang datang tidak kena pada waktunya, seperti mahu mengeluarkan lagu pada kadar segera jadi saya terpaksa tolak.

“Saya juga tidak pernah memilih artis untuk membawakan lagu ciptaan saya kerana apabila mencipta lagu, saya akan menghasilkannya mengikut karakter penyanyi itu sendiri,” tutur bapa kepada Nur Helena yang diambil sebagai anak angkatnya tahun lalu.

Beritahunya, sebagai contoh lagu Pematah Hati yang diciptakan untuk Nabila Razali mempunyai melodi yang catchy.

“Saya tidak boleh menghasilkan lagu mengikut naluri sendiri. Oleh sebab itu, saya banyak membuat rujukan berkenaan lagu yang mahu dikeluarkan oleh mana-mana penyanyi sebelum menghasilkannya kerana saya memang tidak pernah memberikan lagu sedia ada dalam simpanan apabila diminta,” kongsi anak kelahiran Kuala Lumpur itu.

Rezeki

Ketika ditanya adakah dia tidak kisah sekiranya diminta mencipta lagu buat bekas rakan duonya, Azhar, Hael memberitahu, dia tiada masalah untuk bekerjasama dengan Azhar.

“Saya pernah minta Azhar memaklumkan saya sekiranya memerlukan bantuan tetapi mungkin dia belum tidak bersedia.

“Buat masa ini, biarlah dia mencari material yang dimahukan,” jelas Hael lagi.

Beralih mengenai perkembangan terkininya, Hael memberitahu, sejak tahun lepas lagi dia mempunyai perancangan untuk mengeluarkan beberapa buah lagu tetapi terpaksa menangguhkan niat tersebut untuk seketika.

“Saya tidak mahu mengeluarkan lagu dalam keadaan melulu kerana Jampi masih mengungguli carta buat masa ini.

“Sebagai anak seni, saya juga ada pengalaman gagal, banyak lagu saya sebelum ini yang tidak diterima sebagaimana Jampi. Bagaimanapun, saya masih berkarya kerana percaya setiap lagu membawa rezeki yang berbeza,” ujarnya yang tidak bercadang untuk berkolaborasi dengan mana-mana komposer lain selain Ezra buat masa ini.

Hael sebenarnya mempunyai perancangan mengeluarkan single keduanya berjudul Haram dalam masa terdekat yang menampilkan kelainan dari segi genre dan konsep berbanding Jampi.

“Tunggu sahaja. Insya-Allah dalam masa terdekat.

“Jika tiada aral melintang, saya juga akan mengadakan siri jelajah untuk mempromosikan lagu Jampi di Indonesia pada April depan, malah saya juga mempunyai rencana untuk berduet dengan penyanyi lain pada masa hadapan,” jelasnya menutup bicara.

Kejayaan single pertamanya, Jampi yang dihasilkan bersama Ezra Kong pantas meletakkan nama Hael Husaini pada carta nombor satu sebagai buruan ramai penyanyi 
yang mahu mendapatkan khidmatnya sebagai pencipta lagu.

Post a Comment

Previous Post Next Post