Vokalis kumpulan Flybaits, Fredo berjaya mengumpulkan dana yang diperlukan bagi membiayai kos pembedahan dan rawatan isterinya menerusi persembahan mini Kenangan Lalu Bersama Fredo Flybaits di D’Saji Titiwangsa, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Suzlynna Mustapha, 53, yang juga merupakan vokalis kumpulan The Flintstones itu mengalami masalah pada bahagian tumit kaki kanan akibat jangkitan kuman sejak Disember tahun lalu sehingga menyukarkannya untuk bergerak selain perlu dibedah segera.
Menurut Fredo, dia berasa terharu kerana kesudian peminat membantunya mengumpulkan dana menerusi persembahan mini tersebut demi melihat isteri tersayang kembali sihat dan pulih seperti sediakala.
“Terima kasih kepada peminat yang sudi membantu saya mengumpulkan dana sebanyak 80 peratus daripada jumlah yang diperlukan.
“Sedikit sebanyak wang hasil penjualan tiket persembahan mini ini boleh digunakan bagi menampung perbelanjaan pembedahan dan rawatan lanjutan isteri. Dengan itu, membolehkannya kembali sihat dan menjayakan persembahan bersama saya semula selepas ini,” katanya.
Menurut Fredo, mereka merancang untuk menjalani pembedahan dan rawatan lanjutan di Singapura dalam masa terdekat.
“Saya memilih untuk mengadakan persembahan sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan dana kerana bidang muzik sudah sebati dengan jiwa saya dan ia juga merupakan punca rezeki saya.
“Selain itu, saya juga berpeluang untuk bertentang mata bersama peminat yang merindui kemunculan saya,” ujarnya lagi.
Teruja
Bercerita lanju, Fredo memberitahu, dia berasa amat teruja kerana ini merupakan kali pertama dia mengadakan persembahan di Malaysia selepas konsert terakhirnya bersama Flybaits yang diadakan di Singapura pada tahun 2015.
“Saya teruja dan gembira selain rasa tersentuh melihat sokongan mereka yang tidak pernah henti buat saya.
“Perasaan itu tidak boleh dibeli dengan wang ringgit dan saya sangat terharu dengan sambutan yang diberikan,” jelasnya yang mempunyai perancangan untuk mengadakan persembahan kedua dalam skala besar pada penghujung tahun ini.
Melihat persembahannya yang bertenaga, penyanyi yang berasal dari Singapura itu tidak menjadikan faktor usia sebagai halangan buatnya dalam memberikan persembahan terbaik untuk peminat.
Biarpun sudah mencecah usia 67 tahun, Fredo dilihat masih lincah beraksi di atas pentas, sekali gus memukau penonton yang datang menyaksikan persembahannya bermula pukul 9 malam itu.
Lebih 20 lagu dipersembahkan dalam persembahan mini itu antaranya Gurisan Terakhir, Kasih Berubah, Rinduku Meneruskan Percintaan, Sayang Mengapakah dan Coretan Wajahmu.
Suasana kemudiannya bertukar sedikit romantis apabila penyanyi yang memulakan karier pada usia 31 tahun itu mempersembahkan lagu popular Gary Moore, Still Got The Blues diiringi dengan petikan gitar.