Penyanyi Ferhad yang baru sahaja membuat kemunculan semula menerusi single terbarunya, Definasi Cinta, mengakui sedang menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang dilalui industri muzik tanah air.
Malah penyanyi asal Singapura ini tidak menafikan kepentingan dunia digital dalam menarik perhatian para pendengar untuk mendekati karya terbarunya.
“Semestinya saya bukan daripada ‘generasi selfie’, namun saya sentiasa terbuka untuk menerima perubahan teknologi yang berlaku dalam industri muzik.
“Saya perlu biasakan diri dengan semua ini dan tidak boleh untuk terus menggunakan cara lama sebagaimana yang dilakukan sebelum ini.
“Jadi semestinya saya akan menggunakan platform digital dengan semaksima yang mungkin untuk mempromosikan Definasi Cinta agar ia dapat diterima secara meluas,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ferhad yang ditemui di majlis pelancaran single terbarunya ini pada Selasa, juga akur dengan keterbukaan komen di media sosial yang menjadi trend dan cabaran baru masyarakat hari ini.
Apatah lagi bintang Gegar Vaganza musim keempat (GV4) ini juga turut menjadi mangsa kecaman di media sosial selepas tersingkir daripada program realiti TV itui.
“Saya tak kisah dengan komen-komen netizen di media sosial kerana sebagai penyanyi yang sudah lebih 20 tahun dalam bidang ini, saya sudah biasa dengan kecaman atau apa sahaja komen.
“Apatah lagi pada zaman digital ini, orang lagi berani dan bebas memberikan komen kerana ia berlaku di alam maya.
“Apa pun, cakaplah kerana saya memang tak ambil pusing dengan komen-komen negatif di media sosial, malah sentiasa percaya, masih banyak benda positif yang boleh diberikan perhatian,” ujarnya.
Disebabkan jarang muncul di kaca TV dan persembahan terbuka, ramai yang menyangkakan bapa kepada dua anak, Idris, 11, dan Khalid, 4, sudah tidak aktif dalam bidang seni lagi.
“Memang ramai sangat yang fikir saya sudah tidak menyanyi lagi sehinggalah saya muncul kembali dalam program GV4 baru-baru ini.
“Sebanarnya saya masih aktif menyanyi, cuma beberapa tahun ini saya banyak menjayakan persembahan tertutup dan jarang muncul di kaca TV.
“Lagipun tanpa produk atau lagu baru, tidak banyak perkara yang boleh dikongsikan. Jadi sekarang bila dah ada single ni, saya akan terlibat dengan pelbagai aktiviti promosi baik di radio, TV mahupun persembahan terbuka bersama peminat,” katanya yang kini menjalinkan kerjasama dengan Dr Irma Entertainment untuk single terbaru ini.