Ibu pelakon Elfira Loy, Filzah Yusoff, 52, mengesahkan bakal memulangkan cincin pertunangan kepada keluarga penyanyi, Sufian Suhaimi sekali gus menjawab segala spekulasi mengenai hubungan itu.
Filzah ketika dihubungi berkata, Elfira yang kini berada di New York, Amerika Syarikat maklum berkenaan keputusan diambil.
“Sepatutnya saya dan suami ingin berjumpa keluarga Sufian semalam yang kebetulan berada di Kuala Lumpur tetapi mereka beritahu sudah ingin pulang ke Muar.
“Jadi, saya dan suami tunggu waktu lapang mereka pula untuk berjumpa dan pulangkan cincin. Cuma, apa boleh jelaskan, Elfira dan Sufian sudah tidak ada apa-apa hubungan.
“Elfira tahu mengenai perkara ini dan menyerahkan segala keputusan kepada kami. Lebih baik kami sebagai ibu bapa ambil langkah awal sebelum segalanya jadi lebih teruk selepas berkahwin nanti,” katanya kepada Harian Metro.
Filzah juga menjelaskan, dia terasa hati dengan Instagram Stories (IG Stories) dimuat naik Sufian yang mengatakan dirinya orang ketiga dalam perhubungan mereka.
“Sampai hati dia cakap saya orang ketiga. Mana rasa hormat dia terhadap saya? Apa saya lakukan demi kebaikan Elfira. Mana ada ibu bapa yang inginkan anak mereka hidup susah.
“Sebagai ibu, saya hanya menasihati mana yang terbaik. Kenapa perkara ini disalah anggap? Lagi pula, saya sudah banyak kali beri peluang kepada Sufian untuk berubah. Malah sebelum mereka bertunang lagi.
“Apa yang kami dapat, dia sama saja. Saya tidak mahu berkongsi lanjut kerana dia tahu dan sedar apa yang sudah dilakukan,” katanya.
Filzah berkata, dia juga tidak kisah jika selepas ini ramai yang memandang serong terhadap dirinya.
“Saya kesal apabila orang menuduh Elfira yang bukan-bukan. Kalau nak tahu, anak saya jenis berfikiran positif. Dia rela jika diri dan hatinya di sakiti berbanding orang disayangi.
“Namun, dengan apa yang dia lalui selama ini, saya tidak boleh tahan lagi. Saya fikir, perpisahan adalah cara terbaik. Biarlah orang nak mengata saya. Apa yang penting, saya sekeluarga tahu apa perkara sebenar” katanya.
Usaha Harian Metro untuk mendapatkan kenyataan Sufian Suhaimi gagal apabila kedua-dua nombor telefon tidak diaktifkan.
Sufian dan Elfira mengikat tali pertunangan pada 6 Oktober lalu.