Dakwa isteri dianiaya, Hana Elite tepis dakwaan Joey


Kes saman membabitkan bekas anggota kumpulan Elite, Watie Sadali dan Hana Adnan nampaknya belum lagi berakhir.

Baru-baru ini, suami kepada Watie yang juga penyanyi dan pelakon, Zulkifli Daud atau Joey memberitahu isterinya bakal membuka semula kes tuntutan saman tersebut kerana berasakan dirinya dianiaya rakan baik sendiri.

Menurut kenyataan yang diberikan kepada sebuah akhbar, Joey menyatakan sokongan penuhnya kepada tindakan diambil Watie.

"Isteri saya teraniaya oleh kawan baiknya sendiri. Sebagai suami, saya akan berada di belakangnya dan sentiasa di sisinya ketika susah dan senang.

"Watie sudah membuat permohonan untuk membuka semula kes itu dan pendaftaran kes sudah dibuat di Mahkamah Selayang baru-baru ini.

"Ia membabitkan kadar bayaran yang sudah diputuskan pihak mahkamah sebelum ini,” katanya.

Joey dalam kenyataan yang sama turut memberitahu sudah berusaha untuk menyelesaikan kes tersebut secara baik dengan Hana sebelum ini, namun tidak berhasil.



"Saya hanya serahkan kepada Allah S.W.T siapa yang betul dan salah dalam kes ini. Saya percaya ramai yang tahu cerita sebenar. Kami sudah berusaha untuk selesaikan kes ini cara baik tapi pihak sebelah sana yang tidak boleh terima," tambahnya lagi.

Bagaimanapun kenyataan ini telah dibalas Hana dengan menganggap apa yang diperkatakan Joey itu sebagai tindakan orang yang ingin melepaskan diri.



“Apa yang penting saya ada segala bukti berkenaan perkara ini terutama punca saya diisytihar muflis.

“Malah, mahkamah juga sudah memerintahkan dia membayar jumlah tertentu. Namun, saya belum terima sebarang bayaran apa pun," luahnya yang sentiasa bersedia untuk berdepan dengan tindakan Watie memfailkan semula kes tersebut.

Terdahulu sebelum itu, Hana atau Norhanasafiza Adnan telah memenangi kes saman terhadap Watie yang gagal menyelesaikan bayaran pinjaman bank yang menggunakan namanya untuk membeli sebuah kereta sekitar Mac 2015.

Berikutan itu, Watie diperintah Mahkamah Seksyen Selayang untuk membayar RM112,000 pada Oktober tahun kepada Hana.

Post a Comment

Previous Post Next Post