Bintang RTM 2018 makin berbisa


Program realiti nyanyian Bintang RTM 2018 (BRTM2018) tahun ini menjanjikan kelainan berbanding edisi terdahulu apabila mula memperkenalkan beberapa orang guru tambahan buat para peserta.

BRTM 2018 bakal menampilkan 16 orang peserta yang telah disaring daripada 5,000 penyertaan yang diterima sewaktu uji bakat dilakukan di enam zon berbeza iaitu di Zon Selatan, Zon Utara, Zon Timur, Zon Sabah, Zon Sarawak dan Zon Tengah hujung tahun lalu.

Menurut penerbit BRTM 2018, Sarena Mohd. Salleh, tahun ini terdapat empat kelas berbeza yang perlu dihadiri oleh para peserta bagi memantapkan persembahan mereka setiap minggu.

Guru-gurunya terdiri daripada Datuk Syafinaz selaku guru vokal, Datuk Awie sebagai guru persembahan, Atilia pula bertindak menjadi guru kecergasan manakala Alam Wakaka menggalas tugasan guru tarian.

“Untuk BRTM 2018 kami cuba membuat pembaharuan dan mahu menyuntik elemen seorang penghibur. Maka ada empat orang cikgu yang bertanggungjawab menyerapkan aura itu dalam para pserta.

“Kami berharap para peserta dapat menimba ilmu serta pengalaman berbeza menerusi kelas yang disediakan dan bertanya sebanyak mungkin kepada tenaga pengajar kerana mereka semua artis berpengalaman,” katanya sewaktu sidang media BRTM 2018 di VE Hotel, Bangsar South, baru-baru ini.

Masih mengekalkan sistem penjurian profesional sepenuhnya, terdapat dua orang juri tetap iaitu Adibah Noor dan AG Coco manakala seorang juri jemputan yang berbeza sepanjang 11 minggu bersiaran.



Teruja

Sementara itu, pengacara BRTM 2018, Aqasha pula meluahkan rasa teruja dan bangga kerana diberikan tanggungjawab mengendalikan program yang turut mencungkil bakatnya pada tahun 1999.

Dia yang akan berganding bahu dengan Misha Omar berkata BRTM 2018 telah menunaikan hasratnya untuk bekerjasama dengan penyanyi wanita itu meskipun bukan dalam bidang nyanyian.

Tambah pelantun lagu Embun itu lagi, walaupun mereka berdua tidak pernah disatukan sebagai pengacara namun yakin keserasian pasti akan wujud memandangkan masing-masing memiliki personaliti berbeza.



“Bagi saya, keserasian itu boleh dicari dan sebagai seorang yang profesional, kami akan memberikan yang terbaik bagi menghidupkan suasana program yang dikendalikan.

“Tugas kami yang paling penting ialah keupayaan mengendurkan situasi tegang antara peserta dan juri sewaktu sesi memberi komen. Pastinya selaku bekas peserta yang pernah mengalami keadaan sama, saya dan Misha memahami apa yang perlu dilakukan,”jelasnya lagi.

BRTM 2018 telah mula bersiaran sejak 27 Januari lalu, setiap hari Sabtu pukul 8.30 malam secara langsung di saluran TV2. Hadiah utama akan diumumkan sebaik sahaja lima finalis dipilih untuk ke peringkat akhir.

Post a Comment

Previous Post Next Post