Pertembungan Hael, Ara, Syamel, Hazama


MELIHAT pada portfolio karier nyanyian milik Hael Husaini, Syamel, Ara Johari dan Hazama, barangkali ramai yang akan menganggap keempat-empat penghibur ini bertuah kerana lahir daripada program nyanyian ikonik, Akademi Fantasia (AF).

Hal ini kerana, sejak menamatkan ‘pengajian’ menerusi rancangan realiti yang begitu akrab dengan penonton itu, masing-masing dilihat begitu mudah meraih populariti selain merebut peluang untuk mengukuhkan nama dalam industri.

Terbaharu, Hael, Ara, Syameel dan Hazama berjaya meloloskan diri ke Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL32), sekali gus menyambung legasi alumni-alumni AF lain yang mula berjuang di atas pentas berprestij itu sejak sekitar sedekad lalu.

Biarpun bekas peserta AF kerap beraksi dalam AJL, kejayaan mereka tidaklah tertakluk pada jenama rancangan tersebut semata-mata.

Menurut Hael, 31, sebarang pertandingan nyanyian yang disiarkan menerusi televisyen mampu menjadi platform kepada seseorang penyanyi untuk memperkenalkan namanya dalam kalangan orang ramai.

Namun tambah Hael, kejayaannya selepas itu bergantung pada minat dan usaha yang dicurahkan untuk berjaya.

“Pertandingan hanya menjadi platform untuk seseorang penyanyi mengumpul pengikut dan peminat.

“Selebihnya, penyanyi itu perlu tahu apa yang dia mahukan dalam bidang nyanyian,” ujar Hael yang memenangi tempat kedua AF2013 sebagai kumpulan vokal duo Azhael.

Menurut Hael, tidak semua penyanyi yang berjaya pada hari ini bermula daripada program realiti atau pertandingan. Sebaliknya, kebanyakan daripada mereka bermula dari bawah dan atas usaha sendiri.

“Wany Hasrita dan Haqiem Rusli misalnya tidak menyertai pertandingan tetapi mereka diminati ramai kerana signatur nyanyian yang ada pada mereka.

“Apa yang penting adalah usaha yang berterusan dan minat yang mendalam terhadap apa yang kita kerjakan. Insya-Allah, cepat atau lambat, kejayaan pasti akan datang,” katanya.

Bakal membuat kemunculan perdana di pentas AJL32 pada 11 Februari depan, Hael enggan meletakkan harapan besar terhadap lagu nyanyiannya, Jampi. Sebaliknya, dia mahu memberi persembahan yang berbeza daripada sebelum ini.



Rezeki

“Kali ini, saya lebih fokuskan terhadap vokal berbanding persembahan.

“Dalam masa yang sama, konsepnya sedikit sederhana kerana mahu peminat mendengar susunan muzik asal lagu Jampi,” katanya yang turut menyumbang kredit sebagai komposer dan penulis lirik bersama Ezra Kong.

Sependapat dengan Hael, Syamel atau nama sebenarnya, Syameel Aqmal Mohd. Fodzly pula berkata, jenama AF hanyalah sekadar laluan buat penyanyi untuk mencari arah tujuannya dalam industri muzik.

“Kita sudah diberikan kunci dan pintu telah dibuka, jadi, gunakan peluang yang ada untuk berkarya dan dikenali.

“Jika seseorang itu lahir daripada AF tetapi tidak menggunakan peluang yang ada, saya rasa ia perkara yang sangat sia-sia,” katanya memulakan bicara.

Menurut Syamel, dia bersyukur kerana laluannya dalam industri muzik boleh dianggap agak stabil selepas merangkul gelaran naib juara AF2015, finalis AF Megastar 2017 dan juara Duo Star bersama penyanyi Ernie Zakri.

Namun, Syamel bersetuju yang tidak ramai alumni AF berjaya menempa kejayaan sebaik sahaja selesai menyertai pertandingan tersebut.

“Saya perlu akui bahawa setiap penyanyi, khususnya bekas peserta AF pernah melalui fasa sukar.

“Namun, ia tidak bermakna kita tidak boleh berjaya. Saya percaya, dengan usaha yang kita lakukan, pasti akan ada jalannya,” kata Syamel yang memandang usaha Hael dalam memenangi hati peminat hampir 10 tahun sebagai sesuatu yang membanggakan.



Impian

Ditanya di manakah dia memandang dirinya dalam industri, Syamel menjawab: “Saya tidak mahu dipandang sebagai penyanyi yang berada di puncak. Cukuplah nama saya dikenali untuk tempoh masa yang panjang,” katanya.

Berkenaan dengan pencalonan dua buah lagu nyanyian dan ciptaan dalam AJL32, Lebih Sempurna dan Aku Cinta bersama Ernie Zakri, Syamel berkata, dia berasa teruja kerana kedua-dua lagu mempunyai kekuatan masing-masing.

“Kedua-duanya mempunyai kekuatan tersendiri, lebih-lebih lagi apabila susunan muzik telah diubah oleh pengarah muzik tersohor, Aubrey Suwito.

“Apa yang saya harapkan agar diberi kesihatan supaya dapat melakukan persembahan dengan baik kelak,” katanya lagi.

Bintang baru Ara Johari menyifatkan kejayaan seseorang penyanyi bergantung kepada rezeki. Meskipun merupakan pemenang tempat keempat program AF2016, Ara pernah hampir berputus asa untuk meneruskan karier seni.

Menjadi salah seorang alumni AF bukanlah tiket untuk berjaya dalam sekelip mata. Sebaliknya, dia perlu bijak mengatur strategi dan bekerja keras untuk memastikan kelangsungan kerjaya sebagai penyanyi.

“Pada mulanya agak sukar untuk saya diterima peminat. Saya pernah kecewa dan mahu berputus asa. Namun, selepas difikirkan semula, inilah jalan yang dipilih dan harus teruskan juga.

“Alhamdulillah, selepas tiga bulan single pertama Warkah Untukku dikeluarkan barulah ia mula popular di corong radio. Apa yang saya belajar adalah tiada jalan pintas untuk berjaya,” kata Ara.

Disebabkan itu, pemilik nama sebenar Nurfarrah Izzatie Johari, 20, mengaku cukup terkejut apabila namanya diumumkan sebagai finalis akhir AJL23 menerusi lagu Warkah Untukku. Bersaing dengan ramai nama popular dan penyanyi senior membuatkannya terasa begitu kerdil.

Kongsi Ara, dia telah memasang impian untuk menyanyi di pentas AJL sejak sekolah lagi. Tidak disangka impian tersebut terlaksana dalam tempoh yang begitu pantas.

“Saya boleh dikatakan agak bertuah, menerusi single pertama terus dapat menjadi finalis AJL32. Ada penyanyi mengambil masa yang lama. AJL32 merupakan pentas terbesar dalam hidup saya, oleh sebab itu terbit perasaan takut sehingga kedang-kala terasa ingin menarik diri,” ujar Ara.

Namun selepas membuat persiapan rapi termasuk mengikuti kelas vokal, Ara semakin yakin dan mahu membuktikan kepada khalayak dia seorang penyanyi yang baik.

“Saya bukan sasar untuk menang. Sebaliknya mahu membuktikan saya mampu memberi persembahan dan boleh menyanyi secara langsung dengan baik.

“Sebelum ini ramai yang mempertikaikan lagu Warkah Untukku tercalon dalam AJL32. Selain lirik berulang-ulang, mereka mempertikaikan kemampuan vokal saya. Jadi, AJL32 merupakan pentas untuk membuktikan kemampuan diri sebagai penyanyi,” kata Ara yang telah muncul dengan single kedua berjudul Bunga.

Rekod

Berbeza dengan yang lain, penyanyi Hazama yang merupakan juara program AF9 antara senior dalam AJL32. Masakan tidak, tahun ini merupakan kali keenam Hazama atau nama sebenarnya Hazama Ahmad Azmi, 34, bertanding menerusi lagu Aku Yang Sebenar.

Terdahulu dia tercalon menerusi lagu Simetri, Penglipur Lara, Malaikat, Sampai Mati dan Di Amaran Mama. Bagaimanapun sepanjang bertanding, Hazama tidak pernah membawa pulang trofi kemenangan.

“Pada mula masuk AJL saya memang berharap untuk menang, namun selepas banyak kali bertanding fokus lebih kepada kualiti persembahan. Saya sudah tidak kisah menang atau kalah kerana yang penting orang hanya mahu menonton kualiti persembahan seorang penghibur.

“Bagi saya jika mahu dengar lagu sedap orang boleh dengar radio, tetapi untuk menonton persembahan yang penuh berseni pentasnya adalah AJL32.

“Disebabkan ia merupakan pentas berprestij, tidak mungkin saya menyanyi seperti persembahan makan malam. Jika orang ingat dan hargai persembahan di AJL32, itulah kemenangan yang sebenar,” katanya.

Justeru, tegas Hazama untuk AJL32 dia akan memberi fokus kepada muzik itu sendiri berbanding gimik persembahan. Oleh sebab itu, walaupun dikenali sebagai penyanyi solo, Hazama mendaftarkan diri dalam AJL32 bersama band.

“Saya mahu menampilkan sesuatu yang berbeza selepas mempersembahkan gimik sebanyak lima kali. Sebelum ini saya hanya perjuangkan vokal dan persembahan, tetapi AJL32 fokus lebih kepada muzik,” ujarnya yang akan ditemani isterinya, pemuzik, Genervie Kam, di atas pentas AJL32.

Berbicara tentang alumni AF yang pernah dilabel sebagai produk mee segera, Hazama mempunyai pandangan yang tersendiri. Sebagai penyanyi yang lahir daripada program realiti tersebut, Hazama mengakui dia juga pernah dipandang rendah.

Bahkan Hazama mengambil masa yang agak lama untuk meraih kepercayaan peminat. Kongsinya apa yang dimiliki hari ini adalah hasil kerja keras dan pengalaman dalam bidang seni.

“Saya masuk dalam AF4 dan gagal. Kemudian mencuba pula nasib dalam AF9. Kuncinya adalah tidak berputus asa dan sebenarnya semua penyanyi tidak kira lahir daripada platform mana pun seperti YouTube atau Smule, mereka memerlukan masa untuk matang.

“Sebab setiap platform seperti AF misalnya, belum tentu boleh menolak kerjaya seni seseorang untuk pergi jauh jika tiada usaha daripada penyanyi itu sendiri,” katanya yang muncul dengan drama Uniknya Cinta dalam slot Cerekarama.

Post a Comment

Previous Post Next Post