Azza Elite Saya Sedar Usia Semakin Meningkat


Azza tidak memilih watak yang diberikan kepadanya.

Pelakon dan penyanyi Azza (Elite) berkata dia bersyukur kerana kemunculannya semula dalam bidang seni selepas dua tahun berehat masih diterima baik oleh para penggiat industri.

Azza mengakui, keadaan itu didorong oleh sikapnya yang tidak memilih watak selain menjaga hubungan baik dengan semua pihak selama ini.

Katanya, amalan itu membuatkan dirinya terus dihujani pelbagai tawaran lakonan sejak aktif semula pada hujung tahun lalu.

"Saya seorang yang realistik dan berpijak di bumi yang nyata. Saya sedar apabila faktor usia semakin meningkat kita tidak boleh terlalu memilih peluang yang datang.

"Pada 2018 ini saya bakal berusia 40 tahun jadi tentulah watak mak atau kakak yang ditawarkan. Saya berbesar hati dan terbuka menerima watak-watak begitu. Yang penting, orang percaya dan terus memberikan peluang," katanya.

Azza atau Nor Azzarima Zawari berehat daripada dunia seni selama dua tahun ini kerana memberikan tumpuan pada perniagaan yang semakin berkembang.




Azza kini kembali aktif berlakon.

Bekas anggota kumpulan Elite ini menceburi bidang perniagaan sejak 2013 dan setakat ini sudah mengeluarkan bedak sejuk, bedak asas, pakaian dan tudung jenama sendiri.

Azza menyambung, sikap realistik itu sangat berkesan dalam memastikan kelangsungan kerjaya seninya.

"Macam saya katakan tadi, tak rugi kita berbuat baik dan menjaga hubungan dengan penggiat, sesama artis, media dan peminat sebab semua ini membantu membuatkan orang tak lupa pada kita.

"Sedar tak sedar sejak saya aktif semula saya sudah membintangi beberapa drama bersiri iaitu Apit & Pendekar Legenda, Kiah Pekasam dan sekarang di set siri Makmum Yang Paling Aku Cinta.



"InshaaAllah pada tahun ini sebuah filem akan keluar dan selepas itu saya masuk sebuah lagi set drama bersiri. Semua watak mak-mak tapi saya seronok sangat," katanya.

Katanya, selain lakonan dan perniagaan, penghargaan terhadap kelab peminatnya, Luv Azza juga tidak pernah diabaikan.

Terbaharu, jelas Azza dia bakal mengadakan sesi santai bersama peminat bersempena kemunculannya semula dalam lakonan.

Ia bakal berlangsung pada 9 hingga 11 Februari ini di Glory Beach Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Post a Comment

Previous Post Next Post