Selepas berkahwin, berhijab dan memiliki cahaya mata, pelakon Yana Samsudin, 33, seolah-olah memperlahankan aktiviti lakonannya. Malah ketika ini wajahnya lebih kerap muncul sebagai pengacara dan penceramah bebas berkaitan bisnes serta kekeluargaan.
Hakikatnya, kata pemilik nama sebenar Norliana Samsudin ini, dia sangat merindui bidang lakonan yang sudah sebati dengan dirinya sejak dulu.
“Terus terang, saya rindu untuk kembali aktif berlakon dan baru-baru ini ada tawaran berlakon filem tetapi saya pula tidak dapat memberikan komitmen. Kali terakhir pada penghujung tahun lalu, saya terbabit dalam drama bersiri Cinta Maya bergandingan dengan Afiq Muiz.
“Drama itu turut menampilkan Beego dan Zarina Zainuddin. Ia terbitan Bright Network Sdn Bhd untuk stesen TV2,” katanya.
Ditanya watak diimpikan pula, kata Yana, dia ingin melakonkan karakter yang ada kelainan sekali gus mencabar lakonannya.
“Antaranya watak superhero yang memakai kostum khas,” katanya.
Hos The Wow Show musim baru
Yana juga diberi kepercayaan selaku hos jemputan program 16 episod The Wow Show untuk siaran khas CJ Wow Shop di TV3 bergandingan dengan Zaim dan Lily.
“Alhamdulillah, saya seronok dapat berkongsi kebaikan produk dengan pembeli. Lebih menarik, program The Wow Show musim baru juga menampilkan saya bersama suami, Fadzil Zahari dan anak, Aisy Mateen,” katanya.
Menurut Yana, The Wow Show sangat mementingkan kualiti produk yang dijual dan pakej barangan ditawarkan sangat berbaloi.
“Saya akan mencuba produk itu terlebih dulu sebelum berkongsi kelebihannya dengan penonton,” katanya.
Selain itu, Yana juga menjadi pengacara tetap program bual bicara pagi, Bismillah Ad-Duha yang bersiaran setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 9 pagi di saluran Astro Oasis dan Maya HD.
Sementara itu, ditanya perancangan anak kedua pula, kata Yana, dia memang berhasrat memiliki anak ramai.
“Kami sudah bersedia menambah ahli keluarga tetapi nampaknya belum ada rezeki,” katanya.