Syura Badron kecewa arwah bapa, keluarga dikecam


Penyanyi Syura Badron terkilan dengan sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pihak yang mengecam dan menimbulkan cerita tidak benar tentang keluarganya di laman sosial.

Menurut Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron, 31, perkara berkenaan timbul apabila seorang individu yang mengaku sebagai isteri kepada bekas gurunya mendakwa dia bersikap lupa daratan selepas bergelar artis.

"Kepada semua netizen, katalah apa pun kepada saya. Maki dan cacilah saya. Tetapi tolong jangan babitkan insan paling berharga dalam hidup saya yang telah pun tiada dalam dunia ini. Jangan babitkan arwah bapa dan keluarga saya. Saya mohon sangat," tulisnya.

Dakwaan tersebut turut mengheret seluruh keluarga Syura yang didakwa bersikap sombong selepas dia menjadi terkenal.



Bagaimanapun, malam tadi Syura tampil membuat penjelasan sebenar menerusi video langsung (LV) di laman Instagram untuk mempertahankan diri daripada fitnah yang tersebar.

"Tujuan saya muncul dalam LV Instagram ini bukan untuk mengaibkan sesiapa tetapi hanya untuk mempertahankan diri. Saya boleh terima jika orang bercakap buruk tentang diri saya tetapi jika menyentuh tentang arwah ayah dan keluarga, saya tidak akan berdiam diri.

"Sejujurnya saya agak terpukul dengan dakwaan mengatakan saya dan keluarga lupa daratan selepas bergelar artis kerana semua itu tidak berasas.

"Kalau orang kata saya sombong, saya tiada jawapan untuk itu sebab kita manusia dan jika berbuat baik pun, orang tetap nampak buruknya. Saya minta maaf andai ada salah silap dan turut mendoakan mereka yang menabur fitnah itu dilembutkan hati ," kata Syura.

Post a Comment

Previous Post Next Post