Ruhainies Cakap ikhlas atau no komen


"Tiada siapa pun yang selesa jika soal peribadi dan tingkah laku yang lebih menjadi perhatian di media.

"Namun, tidak perlu tarik muka semata-mata enggan menjawab soalan peribadi yang ditanyakan itu.

"Bagi saya, pasti ada cara lain lebih berhemah dan profesional boleh digunakan untuk menepisnya," kata pelakon jelita, Ruhainies, 26.

Baru-baru ini dikatakan seorang pelakon baru wanita yang meningkat naik menarik muka kerana tidak mahu menjawab soalan peribadi membabitkan kisah cintanya.

Pelakon cantik yang didakwa hangat bercinta dengan seorang pelakon lelaki popular itu dikatakan secara terang-terangan menunjukkan riak wajah tidak selesa ketika ditemubual media.

Mengulas perkara itu, Ruhainies atau Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas menjelaskan dia sendiri pernah dihambat pelbagai cerita sensasi dan kontroversi pada awal pembabitannya dalam karier seni dua tahun lalu.



"Saya pernah berada dalam situasi dipalit gosip membabitkan peribadi yang rasanya lebih hebat daripada apa dilalui pelakon wanita itu. Namun, saya layankan saja.

"Bagi saya, tidak perlu mengelak apatah lagi tarik muka depan media hanya disebabkan kurang selesa menjawab.

"Dalam soal peribadi, pada saya jawab saja dengan ikhlas atau cakap tidak mahu komen. Lagi mudah dan tidak menyinggung sesiapa," katanya.

Pelakon drama Menantu Ting Tong di TV3 itu berkata memang hak masing-masing untuk menjawab atau tidak sesuatu gosip atau cerita sensasi tetapi bagi dirinya dia memilih untuk bersikap jujur.

"Selebriti dan media saling memerlukan. Oleh itu, sewajarnya memberikan kerjasama dua hala yang baik.

"Saya sayangkan karier seni yang diceburi ini serta menghargai kerjasama media. Oleh itu, saya memilih beri penjelasan daripada berteka-teki," katanya.

Post a Comment

Previous Post Next Post