Rita Rudaini temui kebahagiaan


Bisik hati seseorang manusia sentiasa bersuara dan berkat kekuatan yang entah dari mana, pemilik jiwa ‘perkasa’ akan dapat menerima segala hal yang terpalit dalam kehidupan mereka.

Biarpun ia berkisar momen-momen manis dan pahit, setiap pengalaman yang dilalui tetap berlegar menjadi sejarah yang cukup berharga dalam meneruskan kehidupan mendatang.

Perasaan cinta yang tersemat di dalam hati juga sebenar ubat yang paling mujarab bagi menguatkan seseorang untuk terus mengejar impian, sekali gus mencuba sesuatu yang baharu.

Tidak terkecuali bagi pelakon cukup versatil dan kekal jelita, Rita Rudaini apabila dia menemui cinta baharu dalam bidang seni.

Berbekalkan pengalaman lebih 15 tahun dalam dunia seni, wanita berusia 42 tahun itu telah keluar daripada zon selesa bidang lakonan dengan mencuba sesuatu yang agak asing baginya.

Bidang pengacaraan menjadi pilihan Rita atau nama sebenarnya, Rita Rudaini Mokhtar untuk melebarkan sayap demi kecintaan terhadap lapangan seni tanah air.

Lembaran baharu

Pelakon drama bersiri Misi Laksa dan Laksam itu memberitahu, tahun 2018 membuka lebaran baharu dalam kanvas karier apabila mula berkecimpung dalam bidang pengacaraan.

“Saya telah memulakan tugas sebagai pengacara dalam program WOW Sangat yang bersiaran setiap hari Ahad di saluran TV9 bermula pada 7 Januari lalu.

“Alhamdulillah, tahun 2018 ini, saya dapat mencuba bidang baharu dalam bidang pengacaraan. Bahkan, ia merupakan suatu pengalaman baharu sebagai anak seni,” katanya ketika ditemui pada Final Gadis Panca NR Mingguan Malaysia baru-baru ini.

Rita yang tidak terusik dek usia itu berkongsi keterujaan apabila masih diberi kepercayaan untuk memikat penonton.

Katanya, bidang pengacaraan merupakan platform berbeza berbanding dengan kerja lakonan filem dan drama yang sudah berakar dalam dirinya.

“Sebagai anak seni, saya berasa sangat teruja dan ingin mencuba sesuatu yang baharu. Kesempatan yang diberikan ini akan digunakan sebaik mungkin untuk mempelajari selok-belok bidang pengacaraan.

“Ini bukan sahaja untuk saya tetapi rezeki anak-anak. Saya berharap dapat menggalas tugas baharu ini dengan baik demi masa depan,” ujarnya yang pernah menjadi diberi mandat selaku hos Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) pada tahun lalu.

Ibu kepada dua cahaya mata itu menjelaskan, perasaan gementar masih bergumpal dalam diri apabila berada di depan kamera ketika menjadi mengendalikan pengacaraan.

Aktres Balistik itu mengakui tugas mengacara tidaklah semudah seperti yang dijangka sesetengah pihak.

“Saya perlu melontarkan kata-kata di hadapan kamera secara langsung. Bahkan, ia perlu dilakukan secara spontan dengan kemahiran komukasi yang baik.

“Apabila menjadi pengacara, setiap orang perlu sentiasa bersedia untuk bertutur penuh berkeyakinan dan mengurangkan kesilapan di hadapan kamera,” katanya penuh semangat.



Kekasih baharu

Rita yang pernah membintangi filem Anak Mami memberitahu, dia perlu bijak mengatur kata-kata apatah lagi program terbaharu itu mempromosikan produk-produk kepada audiens.

Mulanya gementar dan serba kekok tetapi tanpa mengambil masa lama, dia dapat membiasakan diri dengan persekitaran baharu mengacarakan program tersebut.

Selepas ini, Rita ternyata terbuka untuk menerima sebarang tawaran atau undangan menjadi pengacara, sekiranya itulah rezeki yang ditentukan buat dirinya.

Beralih topik demi topik, sejak akhir-akhir peminat yang sering mengikuti laman Instagram Rita pasti menyedari kehadiran ‘kekasih baharu’ dalam keluarga pelakon itu.

Pelakon filem Cinta tersebut juga memberitahu, dia pasti terkenangkan kekasih baharunya itu, setiap kali meninggalkan rumah atau terpaksa berjauhan.

“Sejujurnya, saya tidak begitu gemar membela kucing kerana tidak mempunyai kemahiran menjaga haiwan berkenaan.

“Bagaimanapun, demi anak-anak yang inginkan seekor kucing sejak dua tahun lalu, saya mendapatkan kucing jenis Parsi tersebut untuk mereka,” ujarnya seraya melemparkan senyuman.

Rita menjelaskan seekor berbulu gebu jenis Pasri itu dinamakan Dahlia dan menjadi ‘teman’ kepadanya dan anak-anak apabila berada di rumah.

Katanya, mulanya dia perlu mempelajari cara-cara menjaga kucing berkenaan sehingga timbul perasaan sayang, apatah lagi apabila terpaksa berjauhan dengan Dahlia.

Jodoh

Bercerita mengenai jodoh pula, Rita memberitahu, pada usianya kini, dia mahu menumpukan sepenuh perhatian kepada kerjaya dan dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7.

“Hidup saya lebih memerlukan anak-anak di sisi. Pada usia ini, hidup saya adalah untuk anak-anak.

“Saya tidak mencari jodoh tetapi lebih fokus kepada mereka sejak dahulu lagi.

“Bagaimanapun, jika takdir menghantar seseorang yang merupakan jodoh saya, dia merupakan jodoh anak-anak juga,” katanya menutup bicara.

Post a Comment

Previous Post Next Post