Raja Afiq berniaga untuk bertahan


Sebagai anak seni, reputasi dan keutuhan profil sudah menjadi suatu keperluan bagi memastikan kelangsungan karier tidak terganggu. Aspek tersebut penting kerana tawaran secara normalnya bergantung pada ‘sebersih’ mana prestasi imej seseorang artis.

Jika seseorang pelakon atau penyanyi itu sudah terpalit kisah kontroversi yang negatif, ia secara tidak langsung akan menjejaskan tawaran kerja keseluruhannya. Bagaimanapun hanya dalam kes-kes tertentu, seseorang artis akan mampu bertahan walau dihimpit kontroversi, itu pun jika hal negatif dikendalikan dengan cara yang betul.

Bagi pelakon yang boleh dikategorikan masih baharu, Raja Afiq Raja Razali, gosip liar yang melanda dirinya penghujung tahun lalu ternyata membawa padah terhadap momentum kerjanya.

Khabar angin yang mengatakan dirinya sebagai artis lelaki yang mempunyai anak luar nikah membuatkan pelakon yang meledak naik menerusi drama bersiri Sayangku Kapten Mukhriz itu ketiadaan tawaran berlakon sejak Disember lalu.

“Meskipun gosip itu tidak bernama dan tidak jelas butirannya, namun ia memberi tamparan hebat kepada saya kerana saya terkait dengan tidak semena-mena.

“Sewaktu kontroversi itu tersebar, drama lakonan saya iaitu Lelaki Itu Pemilik Hatiku sedang ditayangkan. Selepas tamat cerita itu, saya terus tiada tawaran baharu,” luahnya ketika ditemui ketika usai menjadi jejaka pengiring dalam Final Gadis Panca NR Mingguan Malaysia di Utusan Melayu baru-baru ini.



Roti jala

Memandangkan tawaran berlakon tidak kunjung tiba maka pemuda berusia 25 tahun itu terpaksa mengambil inisiatif sendiri dan kini perlahan-lahan menceburkan diri dalam dunia perniagaan.

Sejak dua bulan lalu, Afiq rupa-rupa giat mengusahakan penjualan roti jala secara kecil-kecilan bagi menampung perbelanjaan harian, sementara mengisi jadual lakonan yang masih kosong sehingga kini.

Apa yang menarik perhatian, Afiq sendiri yang akan berada di gerai untuk membuat roti jala dan tidak berasa malu dengan pekerjaan baharunya itu.

“Sebagai lelaki, saya perlu kuat untuk mencari ikhtiar hidup dan tidak hanya boleh menunggu duit jatuh dari langit. Lagipun berniaga roti jala ialah pekerjaan halal, jadi apa salahnya.

“Setakat ini, saya hanya menjual di kiosk jika ada festival atau acara-acara tertentu. Insya-Allah, seiring dengan masa, saya berharap perniagaan ini akan berkembang maju dan mampu memiliki premis tetap,” katanya yakin.

Tambah anak kelahiran Kuala Lumpur itu lagi, dia tidak pernah hilang keyakinan dalam industri dan pasti rezekinya sebagai pelakon masih luas pada masa hadapan.

“Saya cuma perlu bersabar dengan keadaan sekarang dan karier saya akan kembali seperti sediakala. Sekurang-kurangnya saya masih ada jalan lain mencari rezeki,” tuturnya tenang.

Cinta

Meninggalkan soal kehidupan dan kerjaya, tahun 2018 turut menyaksikan Afiq semakin terbuka dengan kisah peribadi apabila memuat naik gambar mesra bersama kekasih baharunya, seorang wanita bernama Nur Shafira.

Sudah mula menjalin hubungan istimewa sejak hampir setahun lalu, tindakan untuk tidak menyembunyikan teman wanita dibuat agar tiada salah faham yang berlaku dalam kalangan peminat mahupun media.

Kata lelaki berkulit putih itu, dia lebih selesa bersikap terbuka dan berterus-terang terutama dengan peminat agar tidak disalah anggap jika terserempak ketika keluar berdua-duaan.

“Saya rasa semua orang bercinta akan melakukan perkara sama, cuma bezanya saya seorang selebriti, itu sahaja. Lagipun saya muat naik gambar yang elok-elok, bukan menjelikkan.

“Lebih baik orang tahu saya sudah berpunya daripada dilabel kaki perempuan. Setakat ini, peminat semuanya mendoakan yang baik-baik untuk hubungan kami. Alhamdulillah,” ujarnya menutup perbualan.

Akibat terkena tempias gosip memiliki anak luar nikah, pelakon Raja Afiq kini terputus tawaran berlakon dan terpaksa berniaga roti jala bagi menampung perbelanjaan harian.

Post a Comment

Previous Post Next Post