Abam tidak mempunyai halangan untuk membiarkan isteri bekerja meskipun berkemampuan untuk menampung kos sara hidup mereka buat masa ini.
PAda 8 Januari lalu, genap sebulan pelawak popular Abam atau nama lengkapnya, Syed Umar Mokhtar Syed Mohd Redzuan melayari bahtera rumah tangga bersama pasangan, Siti Norhidayah Mohd. Ali.
Sepanjang tempoh tersebut, Abam mengakui banyak perkara yang sebelum ini tidak pernah diketahuinya, termasuklah sisi humor suri hatinya itu. Lebih menarik, sifat si isteri itu disifatkan Abam sebagai mampu mencetuskan inspirasi buatnya berjenaka di atas pentas.
Dalam pada itu, Abam juga tidak menafikan kehadiran isteri banyak membantu dirinya menguruskan kelengkapan diri dengan lebih mudah dan teratur.
Belum ada rencana untuk menambah bilangan ahli keluarga, Abam menyerahkan segalanya kepada rezeki Tuhan. Dia juga tiada masalah sekiranya dikurniakan cahaya mata pada masa terdekat.
KOSMO!: Setelah hampir sebulan berkahwin, apakah perubahan yang dapat Abam rasakan sekarang?
ABAM: Alhamdulillah pada 8 Januari lalu genap sebulan kami bergelar suami isteri. Perubahan yang dilalui tidak terlalu ketara kerana saya dan isteri meneruskan rutin harian seperti biasa. Kami mempunyai komitmen terhadap kerjaya masing-masing.
Perubahan itu dapat dilihat apabila ada yang membantu untuk menguruskan kelengkapan diri melibatkan penyediaan pakaian dan makanan. Tidak dinafikan, sebagai suami isteri, kami masih dalam proses mengenali antara satu sama lain.
Tidakkah anda mempunyai sebarang perancangan untuk menjadikan isteri sebagai pengurus atau suri rumah sepenuh masa?
Kami ada komitmen terhadap kerjaya masing-masing. Saya sendiri tidak ada mempunyai sebarang masalah untuk membenarkan dia (Siti Norhidayah) bekerja memandangkan saya kerap bertugas di luar daerah. Saya bimbang sekiranya dia berasa bosan sendiri, jadi tidak mempunyai masalah jika dia ingin bekerja.
Melihat keadaan sekarang. sebenarnya saya mampu menampung kos sara hidup kami berdua tetapi sekiranya dia ingin bekerja, saya tidak mempunyai sebarang masalah.
Tambahan pula, saya enggan bersikap mengongkong dan biarlah berlaku adil kepada semua. Soal mengambil isteri sebagai pengurus, itu tidak pernah terlintas di fikiran saya memandangkan buat masa sekarang kami mempunyai kefahaman berbeza tentang dunia seni.
Mengapa anda tidak berhasrat untuk mengambil isteri sebagai pengurus. Bukankah perkara tersebut lebih mudah memandangkan kalian berdua suami isteri?
Sama seperti yang dikatakan tadi, fahaman kami tentang dunia seni agak berbeza. Dia tidak mengetahui bagaimana cara saya bekerja di set penggambaran yang mengambil masa lama sehingga adakalanya, terpaksa balik lewat pagi.
Saya juga bimbang dia tidak bersedia dari segi emosi. Disebabkan itu saya berpendapat lebih baik kami fokus kepada kerjaya masing-masing.
Pernahkah isteri memarahi anda kerana pulang lewat disebabkan penggambaran?
Terlalu marah itu tidak tetapi dia akan menghubungi dan bertanya sama ada penggambaran telah tamat atau belum. Waktu bekerja juga kami berbeza, dia bekerja waktu pejabat, manakala saya tidak tentu masa. Jadi pernah suatu ketika, pada pukul 9 malam dia menghubungi bagi bertanya sama ada telah habis sesi penggambaran atau tidak.
Selain itu, sehari sebelum genap sebulan berkahwin, kami ada menjalani penggambaran videografi perkahwinan. Pengalaman seharian penggambaran, sudah cukup membuatkan dia serik dan memahami cara kerja saya di lokasi.
Katanya, baru dia faham bagaimana cara saya bekerja dan dia tidak mempersoalkan perkara itu lagi.
Memandangkan anda seorang pelawak profesional, adakah isteri juga mempunyai sisi humor yang sama?
Isteri saya bukan seorang yang pandai berjenaka atau boleh buat lawak tetapi ada beberapa perilaku mencuit hati dan membuatkan saya ketawa. Ada sikapnya hanya saya ketahui setelah bergelar suami dan ia sangat melucukan.
Contohnya, dia pernah mengadu kenderaannya mengalami masalah kerana gear tidak berfungsi. Setelah ditanya, dia tidak menekan pedal brek dan disebabkan itu gear gagal berfungsi. Perkara itu tidak kelakar tetapi melihat gelagatnya membuatkan saya berasa lucu sehingga mencetuskan idea untuk berlawak di atas pentas.
Adakah anda ada perancangan memiliki cahaya mata dalam masa terdekat?
Segalanya bergantung pada rezeki dan saya menerima sekiranya dikurniakan anak dalam masa terdekat. Saya juga tidak berhasrat untuk melakukan perancangan keluarga.
Buat masa sekarang, isteri tidak menunjukkan sebarang tanda kehamilan. Tetapi, pernah sebelum ini dia mengalami muntah-muntah tetapi setelah diperiksa dia tidak mengandung, sebaliknya mengalami keracunan makanan.
Apa aktiviti seni anda sekarang?
Saya sibuk dengan program Bintang Bersama Bintang yang memulakan siaran pada 14 Januari di TV3, pukul 10 malam. Dalam program tersebut, saya bukan sahaja kena berjenaka tetapi perlu menyanyi.
Bukan sekadar menyanyi, malah lirik lagunya juga ditukar agar bersesuaian dengan konsep program. Program itu bersiaran secara langsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam.